Adakah suplemen zink berkesan untuk mencegah kematian dan penyakit, dan untuk menggalakkan pertumbuhan, pada kanak-kanak berumur 6 bulan hingga 12 tahun dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

- Suplemen zink untuk kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun memberikan sedikit atau tiada perbezaan terhadap semua punca kematian dan kemungkinan tidak memberikan perbezaan terhadap kematian disebabkan cirit-birit. Suplemen zink mungkin mengurangkan kematian disebabkan oleh jangkitan saluran pernafasan bahagian bawah dan malaria tetapi kemungkinan kecil peningkatan risiko kematian tidak boleh diketepikan.

- Suplemen zink untuk kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun mungkin mencegah penyakit akibat cirit-birit, tetapi mungkin menyebabkan muntah selepas pengambilan suplemen. Ia mungkin membawa kepada peningkatan kecil dalam peningkatan ketinggian.

Mengapakah penting untuk mengkaji suplemen zink?

Zink adalah mikronutrien penting. Ia penting untuk membantu kanak-kanak membesar dengan normal dan menggalakkan sistem imun yang sihat. Kekurangan zink boleh menyebabkan cirit birit, jangkitan paru-paru, malaria dan juga kematian. Pengambilan zink yang rendah dari diet sering dikaitkan dengan kemiskinan. Sebanyak separuh daripada semua kanak-kanak di negara berpendapatan rendah dan sederhana mungkin mengalami kekurangan zink. Daging, ikan, telur dan produk tenusu adalah sumber zink semula jadi yang baik, tetapi mahal. Kekurangan air bersih dan sanitasi yang buruk meningkatkan pendedahan kepada penyakit, yang zink boleh membantu untuk melawan. Tubuh manusia tidak boleh menghasilkan atau menyimpan zink, jadi pemberian suplemen diet adalah penting.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pemberian suplemen zink kepada kanak-kanak membantu mencegah kematian dan penyakit kanak-kanak, dan menggalakkan pertumbuhan.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menetapkan secara rawak kanak-kanak berusia 6 bulan hingga 12 tahun untuk menerima suplemen zink atau tiada zink.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami sertakan 96 kajian dalam ulasan, dengan 219,584 kanak-kanak. Kajian berlangsung di 34 negara, kebanyakannya negara berpendapatan rendah hingga sederhana. Kebanyakan kanak-kanak dalam kajian berusia di bawah lima tahun. Zink sering diberikan dalam bentuk sirap (zink sulfat), dan dos yang paling biasa adalah antara 10 mg hingga 15 mg setiap hari.

Kami mendapati bahawa pemberian suplemen zink kepada kanak-kanak mungkin membawa kepada tiada hingga sedikit pengurangan dalam risiko kematian atas sebarang sebab dan risiko kematian akibat cirit-birit. Risiko kematian disebabkan jangkitan saluran pernafasan bahagian bawah atau malaria mungkin dikurangkan. Kanak-kanak yang diberikan zink mengalami kurang penyakit disebabkan cirit-birit berbanding kanak-kanak yang tidak diberikan zink; walau bagaimanapun, zink nampaknya tidak mengurangkan risiko jangkitan pernafasan di kalangan kanak-kanak. Suplemen zink mungkin mempunyai kesan positif yang kecil terhadap pertumbuhan. Kanak-kanak yang mengambil suplemen zink mungkin mengalami muntah sebagai kesan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kami yakin dengan keputusan kami tentang kesan suplemen zink dalam mengurangkan risiko kematian akibat sebarang sebab, penyakit akibat jangkitan pernafasan, dan kejadian muntah selepas diberikan suplemen. Keyakinan kami terhadap keputusan untuk hasil yang lain adalah sederhana kerana agak sedikit kajian yang melaporkan hasil ini dan kerana kajian kadangkala melaporkan keputusan yang berbeza daripada kajian lain untuk hasil yang sama.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemas kini versi sebelumnya yang diterbitkan pada 2014. Bukti adalah terkini setakat Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information