Flap trabekulektomi konjunktiva berdasarkan fornix berbanding berdasarkan limbal untuk glaukoma

Yang manakah berfungsi lebih baik pada orang dewasa dengan glaukoma: sayatan pembedahan berdasarkan fornix atau limbal untuk pembedahan saliran?
Kami mengulas bukti untuk faedah dan risiko dua pendekatan utama (sayatan berdasarkan fornix berbanding berdasarkan limbal) untuk pembedahan saliran (trabekulektomi) pada orang dewasa dengan glaukoma.

Mengapa soalan ini penting?
Glaukoma merupakan salah satu penyebab utama buta yang boleh dicegah di dunia. Apabila rawatan perubatan dengan ubat titisan mata tidak mencukupi untuk mengawal perkembangan, rawatan pembedahan dijalankan untuk meningkatkan aliran melalui sistem saliran dan menurunkan tekanan dalam mata. Trabekulektomi adalah salah satu teknik pembedahan yang menghasilkan saluran, yang membolehkan cecair mengalir dari dalam mata untuk menurunkan tekanan mata. Terdapat dua jenis sayatan dalam pembedahan ini: yang berdasarkan fornix [sayatan dibuat pada limbus kornea (antara kornea dan konjunktiva) dan berengsel di ruang fornix] dan yang berdasarkan limbal [sayatan dibuat lebih jauh dari limbus di bawah kelopak mata]. Tujuan ulasan ini adalah untuk melihat sama ada terdapat perbezaan dalam hasil pembedahan (kawalan tekanan mata dan komplikasi) antara kedua-dua pendekatan pembedahan yang berbeza ini (teknik berdasarkan fornix dan limbal).

Bagaimana kami mengenalpasti dan menilai bukti?
Kami mencari penulisan perubatan untuk kajian yang membandingkan teknik berdasarkan fornix dan limbal untuk orang dewasa dengan glaukoma. Kemudian, kami membandingkan keputusan kajian dan merumuskan bukti dari semua kajian yang relevan. Kami juga menilai keyakinan kami terhadap bukti faktor-faktor seperti bagaimana kajian dijalankan dan berapa orang yang disertakan.

Apa yang kami temui?
Kami menemui enam kajian rawak terkawal (RCT) dengan jumlah 361 orang dewasa dengan sebarang jenis glaukoma. Mereka disusuli sekurang-kurangnya 24 bulan.

- Kadar kegagalan pada 24 bulan tidak dilaporkan dalam sebarang kajian yang disertakan, dan satu kajian melaporkan "komplikasi lewat" tetapi tidak memberi jangka masa yang khusus, yang menyokong rawatan berdasarkan fornix (keyakinan kami terhadap bukti ini adalah rendah).

- Tiada perbezaan yang diketahui bagi penurunan tekanan mata selepas 24 bulan (dua kajian) dan selepas 12 bulan (empat kajian)(keyakinan sederhana).

- Jumlah ubat yang diperlukan untuk mengawal tekanan mata selepas pembedahan juga serupa (keyakinan tinggi).

- Sebilangan besar kajian melaporkan bahawa kadar komplikasi selepas pembedahan adalah serupa kecuali pada satu komplikasi iaitu kesempitan pada bahagian anterior mata selepas prosedur (lebih kerap berlaku pada kumpulan pembedahan limbal), tetapi ini tidak mempengaruhi hasil akhir pembedahan.

Apakah maksudnya?
Kami tidak tahu sama ada pembedahan trabekulektomi berdasarkan fornix atau limbal lebih baik dari segi faedah dan risiko kerana kekurangan bukti yang kukuh.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information