Gemcitabine intravesikal untuk kanser pundi kencing invasif bukan otot

Soalan ulasan

Dalam orang yang mempunyai tumor lapisan luar bagi pundi kencing (iaitu barah pundi kencing invasif bukan otot [NMIBC]), bagaimana gemcitabine yang dimasukkan ke dalam pundi kencing dibandingkan dengan ubat lain setelah tumor dikeluarkan?

Latar belakang

NMIBC dapat dikeluarkan daripada pundi kencing menggunakan alat kecil dan sumber cahaya (disebut pembedahan transurethral). Namun, tumor ini sering kembali (berulang) dengan ciri agresif seperti merebak ke lapisan dalam pundi kencing. Untuk mengelakkannya, kita boleh memasukkan pelbagai ubat ke dalam pundi kencing. Dalam ulasan ini, kami ingin mengetahui sama ada gemcitabine (ubat kemoterapi) adalah lebih baik atau lebih buruk berbanding ubat lain.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga 11 September 2020. Kami hanya menyertakan kajian di mana orang ditentukan secara rawak untuk menerima gemcitabine atau ubat lain. Kami menjumpai tujuh kajian dengan 1222 peserta. Dua kajian membandingkan gemcitabine berbanding saline. Satu kajian membandingkan gemcitabine berbanding mitomisin (ubat kemoterapi). Tiga kajian membandingkan gemcitabine berbanding BCG (Bacillus Calmette-Guérin; ubat yang digunakan untuk membantu mencegah barah daripada tumbuh). Satu kajian membandingkan gemcitabine berbanding satu pertiga dos BCG.

Keputusan utama

Gemcitabine boleh mengurangkan risiko jadi pengulangan dari masa ke masa, tetapi mungkin mempunyai kesan yang sama terhadap perkembangan (barah menjadi semakin teruk) dan kesan tidak diingini yang teruk berbanding saline. Gemcitabine boleh mencegah pengulangan dan perkembangan berbanding mitomisin. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan gemcitabine terhadap kesan tidak diingini yang teruk berbanding dengan mitomycin. Dalam orang yang mempunyai NMIBC berisiko tinggi dengan barah yang kembali setelah menjalani satu rawatan dengan BCG, gemcitabine boleh menyebabkan kurang pengulangan dan perkembangan berbanding dengan memberi BCG lagi. Kami sangat tidak pasti mengenai kesan gemcitabine terhadap kesan tidak diingini yang teruk berbanding rawatan semula dengan BCG. Ulasan ini juga merangkumi maklumat mengenai bagaimana gemcitabine dibandingkan dengan BCG dan bagaimana ia dibandingkan dengan satu pertiga dos BCG.

Kebolehpercayaan bukti

Kebolehpercayaan bukti adalah rendah atau sangat rendah untuk kebanyakan rawatan yang kami bandingkan, yang bermaksud bahawa kami sering tidak pasti sama ada penemuan itu adalah benar. Penyelidikan selanjutnya mungkin akan mengubah penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman Bin Ahmad RIzal (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information