Sistem posisi tidur untuk kanak-kanak palsi serebrum

Latar belakang

Migrasi pinggul (bahagian atas tulang peha berganjak dari pelvis) mempengaruhi sebilangan besar kanak-kanak palsi serebrum dan sering dikaitkan dengan kesakitan. Bagi sesetengah kanak-kanak palsi serebrum, terutama mereka yang tidak boleh berjalan, peralatan kadang kala disyorkan untuk membantu kanak-kanak tidur dalam posisi yang mengurangkan atau mencegah migrasi pinggul. Peralatan ini dipanggil 'sistem posisi tidur'dan boleh disyorkan bersama alat yang direka bentuk untuk menyokong postur semasa duduk atau berdiri, atau kedua-duanya, di siang hari. Kedua-duanya dirujuk sebagai program pengurusan postur 24-jam.

Keluarga dan profesional kesihatan memerlukan maklumat sama ada sistem posisi tidur berkesan, untuk membantu mereka membuat keputusan tentang penggunaannya.

Soalan ulasan

Matlamat ulasan ini ialah untuk mencari bukti kukuh dari kajian rawak terkawal yang menilai keberkesanan sistem posisi tidur untuk kanak-kanak palsi serebrum. Kajian rawak terkawal melibatkan dua kumpulan orang; satu kumpulan menerima rawatan (kumpulan eksperimen), dan kumpulan yang satu lagi tidak menerima rawatan (kumpulan kawalan), dan keputusan dibandingkan. Untuk memastikan kumpulan-kumpulan tersebut hampir sama, pemilihan kumpulan mana untuk seseorang ditempatkan adalah berdasarkan kebarangkalian(rawak), agar sebarang perbezaan dalam keputusan di antara kumpulan, adalah akibat rawatan sahaja.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian kajian-kajian yang komprehensif. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2014.

Keputusan-keputusan utama

Tidak terdapat kajian rawak terkawal yang menilai keberkesanan sistem posisi tidur untuk mengurangkan atau mencegah migrasi pinggul.

Dua kajian rawak terkawal yang kecil membandingkan kualiti tidur kanak-kanak semasa mereka menggunakan atau tidak menggunakan sistem posisi tidur mereka. Salah satu kajian tersebut menilai kesakitan apabila tidur di dalam atau di luar sistem posisi tidur. Kajian-kajian tersebut adalah kajian bersilang. Kanak-kanak dalam kaijan tersebut menggunakan sistem posisi tidur untuk beberapa malam dan tidak menggunakannya untuk beberapa malam, atau sebaliknya. Aturan sama ada peralatan digunakan atau tidak, dibuat secara rawak.

Dua-puluh satu kanak-kanak palsi serebrum berumur di antara 5 dan 16 tahun, yang biasa tidur dengan alat posisi tidur mengambil bahagian dalam kajian-kajian tersebut. Satu kajian dijalankan di makmal tidur dan satu lagi dijalankan di rumah kanak-kanak tersebut. Kedua-dua kajian tidak melaporkan sebarang perbezaan dalam kualiti tidur atau sakit sama ada menggunakan atau tidak menggunakan sistem posisi tidur mereka. Keputusan-keputusan ini harus diterjemahkan dengan berhati-hati kerana bilangan kecil kanak-kanak yang terlibat dan fakta bahawa kanak-kanak yang terlibat dalam kajian adalah pengguna yang telah biasa menggunakan peralatan tersebut. Terdapat juga pelbagai kelemahan tentang cara mereka merekabentuk kajian dan bagaimana ia dilaporkan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti terkini tentang keberkesanan sistem posisi tidur untuk kanak-kanak palsi serebrum adalah rendah dan lebih banyak penyelidikan bermutu diperlukan untuk membantu keluarga dan para profesional membuat pilihan berdasarkan bukti untuk menggunakaan intervensi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.

Tools
Information
Share/Save