Rawatan untuk penyakit gusi (periodontitis) bagi pengendalian penyakit yang melibatkan jantung dan salur darah dalam kalangan pesakit dengan penyakit gusi kronik

Soalan ulasan

Soalan utama ulasan yang dihasilkan oleh Kumpulan Kesihatan Oral Cochrane ini adalah sama ada rawatan penyakit gusi sederhana atau teruk (periodontitis) memberi kesan terhadap pencegahan atau pengendalian penyakit jantung dan salur darah (kardiovaskular).

Latar belakang

Penyakit gusi (periodontitis) adalah keadaan kronik yang lazim atau berpanjangan yang boleh menjadi lebih teruk. Ia melibatkan keradangan gusi yang mengelilingi dan menyokong gigi, menyebabkan gusi bengkak dan sakit dan di dalam keadaan yang lebih teruk menyebabkan kehilangan tulang (alveolar) yang menyokong gigi.

Penyelidikan klinikal menunjukkan kemungkinan kaitan penyakit gusi kronik (periodontitis) dengan penyakit jantung dan salur darah (kardiovaskular). Sesetengah penyelidik percaya rawatan untuk penyakit gusi yang menghapuskan bakteria dan jangkitan dan mengawal keradangan, mungkin boleh mencegah kejadian atau penyakit jantung berulang.

Ciri-ciri kajian

Bukti di mana ulasan ini didasarkan adalah terkini sehingga 27 Ogos 2017. Kajian rawak terkawal yang dimasuukan melibatkan 303 peserta.

Keputusan-keputusan utama

Sehingga kini hanya ada satu kajian yang sesuai yang meneliti isu ini. Kajian ini bermasalah dari sudut rekabentuk. Bukti yang ada tidak dapat menentukan sama ada rawatan penyakit gusi (peridontium) mempunyai kesan terhadap kejadian atau ulangan penyakit jantung dalam kalangan mereka dengan penyakit gusi kronik.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah kerana hanya ada satu kajian dan ia bermasalah dalam rekabentuk dan perlaksanaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save