Merawat keradangan gusi kronik (periodontitis) untuk mencegah penyakit jantung dan salur darah (kardiovaskular)

Soalan ulasan

Soalan utama yang ditangani oleh ulasan ini adalah sama ada rawatan untuk periodontitis kronik (keradangan gusi) boleh mencegah atau mengendali penyakit kardiovaskular (jantung dan salur darah).

Latar belakang

Periodontitis kronik menyebabkan gusi bengkak dan sakit, dan kehilangan tulang alveolar yang menyokong gigi. 'Kronik ' adalah label yang bermakna penyakit itu telah berterusan untuk beberapa waktu tanpa rawatan. Istilah 'periodontitis kronik' dikurangkan secara berfasa kerana terdapat sistem baru untuk mengkategorikan pelbagai jenis penyakit gusi, tetapi kami mengguna istilah ini dalam ulasan kami kerana kajian yang didapati adalah berdasarkan sistem lama.

Mungkin terdapat hubungan di antara periodontitis dan penyakit kardiovaskular. Rawatan periodontitis kronik menyingkirkan bakteria dan jangkitan, dan mengawal keradangan, dan ini mungkin membantu mencegah kejadian atau pengulangan penyakit jantung dan salur darah. Kami ingin mengetahui sama ada terapi periodontium boleh membantu mencegah kematian, atau mengurangkan kemungkinan ‘serangan’ kardiovaskular seperti strok atau serangan jantung.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data elektronik utama untuk penyelidikan saintifik yang dikenali sebagai 'kajian rawak terkawal', sehingga November 2021. Dalam kajian jenis ini, peserta diletakkan secara rawak kepada kumpulan eksperimen atau kumpulan kawalan. Mereka dalam kumpulan eksperimen menerima rawatan yang diuji, dan orang dalam kumpulan kawalan biasanya menerima sama ada tiada rawatan, plasebo (rawatan palsu), jenis rawatan lain, atau penjagaan rutin.

Kami mendapati dua kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Satu kajian menilai 165 peserta yang tiada penyakit kardiovaskular, tetapi mempunyai sindrom metabolik (gabungan faktor risiko untuk penyakit kardiovaskular, seperti obesiti, tekanan darah tinggi, dan gula darah tinggi). Satu lagi kajian bermula dengan 303 peserta dengan penyakit kardiovaskular, tetapi selepas setahun, hanya 37 peserta dinilai dan oleh itu, kami fikir keputusan tidak cukup dipercayai untuk diguna. Kedua-dua kajian bermasalah dengan reka bentuk dan kami menilainya berisiko bias tinggi.

Keputusan utama

Bagi orang dengan sindrom metabolik tetapi tiada penyakit kardiovaskular, kami tidak dapat menentukan sama ada merawat periodontitis kronik, dengan mengeluarkan plak dan tartar (penskaleran) dari akar gigi dan memberi antibiotik, mengurangkan risiko kematian atau serangan kardiovaskular berbanding penskaleran gigi di atas paras gusi sahaja.

Bagi orang dengan penyakit kardiovaskular dan periodontitis kronik, kami tidak mendapati bukti boleh percaya tentang kesan rawatan periodontium.

Kepastian bukti

Kami mengklasifikasikan bukti sebagai 'kepastian sangat rendah'. Kami tidak pasti tentang penemuan kerana hanya terdapat dua kajian yang berisiko bias tinggi dengan keputusan yang kurang tepat. Secara keseluruhan, kami tidak boleh membuat sebarang kesimpulan yang boleh dipercayai daripada penemuan-penemuan tersebut. Penyelidikan lanjutan adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail ((MUCM) Manipal University College Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information