Peranan senaman fizikal aerobik untuk orang dewasa dengan kemalignanan hematologi

Apakah matlamat ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada senaman fizikal aerobik boleh memperbaiki kesihatan, atau memain peranan sokongan bagi pesakit dewasa yang menderita kemalignanan haematologi. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 18 kajian yang relevan, yang mana 14 melaporkan hasil yang ditentukan relevan-pesakit.

Mesej-mesej utama

Senaman fizikal aerobik mungkin mempunyai kesan positif terhadap fatig dan kemurungan pesakit dengan kemalignanan hematologi. Bukti yang berkaitan dengan kematian, kualiti hidup, dan peristiwa buruk yang serius masih belum jelas.

Apakah yang dipelajari dalam ulasan kajian ini?

Kemalignanan hematologi adalah tumor sistem pembentukan darah, seperti limfoma, leukaemia, myeloma, sindrom mielodisplastik dan penyakit mieloproliferatif. Penyakit-penyakit ini mewakili kira-kira tujuh peratus diagnosis kanser baharu di seluruh dunia. Strategi-strategi rawatan termasuk pendekatan tunggu dan lihat, kemoterapi, radioterapi, imunoterapi dan pemindahan stem sel, serta penjagaan sokongan untuk mencegah, mengawal atau merawat komplikasi dan kesan sampingan.

Walaupun pesakit-pesakit ini perlu menjalani terapi fasa panjang dan tidak dapat bergerak, yang mempunyai kesan negatif ke atas tahap prestasi fizikal mereka, masih menjadi amalan lazim untuk mengesyorkan rehat dan mengelakkan senaman intensif.

Terdapat beberapa kajian dan pendekatan yang cuba membentuk satu lagi strategi dan memasukkan senaman fizikal, terutama senaman fizikal aerobik, ke dalam strategi rawatan kemalignanan hematologi. Secara terperinci, program senaman ini terdiri daripada komponen aerobik, rintangan dan fleksibiliti, sebahagiannya berasas di rumah. Sesetengah orang memilih untuk disepadukan dalam kehidupan seharian. Kaedah yang lazim ialah penggunaan alat seperti basikal ergometer atau jalur regangan serta latihan berjalan. Senaman fizikal aerobik mungkin memperbaiki bekalan oksigen ke otot dan tisu badan.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Para penulis ulasan ini mengenal pasti sembilan kajian baharu yang boleh ditambah kepada sembilan kajian versi pertama ulasan ini. Daripada 18 kajian ini, 14 kajian menyediakan data yang cukup untuk metaanalisis. Walaupun enam kajian melaporkan berapa ramai peserta yang meninggal dalam tempoh kajian atau semasa 100 hari pertama, tidak ada bukti untuk perbezaan dalam hasil ini di antara kumpulan latihan dan kumpulan kawalan.

Lapan kajian mengukur kualiti hidup, fungsi fizikal dan kebimbangan dan tidak menunjukkan bukti untuk perbezaan di antara senaman tambahan dan penjagaan biasa. Mungkin terdapat manfaat untuk kumpulan senaman dari segi fatig dan kemurungan.

Bukti untuk peristiwa buruk yang serius adalah berdasarkan kepastian yang sangat rendah, oleh itu keputusan masih tidak pasti.

Tambahan juga, kami mengetahui tentang empat kajian yang sedang dijalankan. Walau bagaimanapun, tiada kajian menyatakan, berapa ramai pesakit yang akan mereka rekrut dan bila kajian akan ditamatkan, maka pengaruh berpotensi untuk kajian-kajian ini dianalisis masih tidak jelas.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information