Antibiotik jangka pendek berbanding jangka panjang sebagai rawatan untuk pneumonia yang diperoleh daripada komuniti di kalangan remaja dan orang dewasa yang tidak dirawat dalam hospital

Soalan ulasan

Kami menyiasat penggunaan antibiotik jangka pendek dan jangka yang lebih panjang kepada remaja dan orang dewasa yang menghidapi pneumonia yang diperoleh daripada komuniti (CAP) yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital.

Latar belakang

Pneumonia yang diperoleh daripada komuniti adalah jangkitan kuman paru-paru yang boleh diperolehi semasa aktiviti sehari-hari dalam komuniti (bukan diperoleh di hospital). Pneumonia yang diperoleh daripada komuniti boleh menjadi serius, dan di kalangan orang tua dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang lain, ianya boleh menyebabkan kematian. Pneumonia yang diperoleh daripada komuniti biasanya akan dirawat dengan antibiotik. Rawatan antibiotik jangka pendek mungkin memberi kesan yang sama, lebih murah, dan lebih selamat daripada rawatan jangka masa yang lebih lama, tetapi perkara ini perlu dibuktikan.

Tarikh carian

Bukti adalah daripada 28 September 2017 hingga sekarang.

Keputusan-keputusan utama

Carian kami mengenal pasti 5260 rekod, tetapi tiada kajian yang lengkap yang membandingkan antibiotik yang sama bagi tempoh jangka pendek dan jangka yang lebih panjang untuk rawatan bagi remaja dan orang dewasa dalam komuniti yang menghidapi CAP. Kesan panjang terapi antibiotik pada remaja dan dewasa yang menghidapi CAP yang dirawat dalam komuniti masih tidak jelas.

Kami mengecualikan dua kajian yang membandingkan rawatan jangka pendek (lima berbanding tujuh hari) antibiotik yang sama dengan dos harian yang sama kerana mereka menilai antibiotik (gemifloxacin dan telithromycin) yang jarang digunakan pada mereka yang menghidapi CAP. Gemifloxacin tidak lagi digunakan kerana risikonya tidak seimbang dengan manfaat rawatan, dan kesan sampingan telah dilaporkan. Keselamatan telithromycin juga menimbulkan kebimbangan.

Kami mendapati satu kajian yang sedang dijalankan yang kami akan nilai untuk dimasukkan dalam kemas kini ulasan pada masa hadapan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI & UCD Malaysia Campus). Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Unuiversiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com

Tools
Information
Share/Save