Cryoterapi untuk metastasis hati

Soalan Ulasan

Adakah cryoterapi (penyejukan) bermanfaat atau berbahaya dalam memusnahkan kanser setempat (tumor) daripada merebak ke hati?

Latar belakang

Apabila kanser merebak dalam badan (metastasis), salah satu tempat yang paling kerap ialah hati. Selain kanser hati (kanser hati primer), kanser usus (colorectal) adalah antara kanser yang kerap menyebabkan metastasis ke bahagian hati. Lebih daripada setengah pesakit yang menghidap kanser yang telah merebak ke hati mati akibat komplikasinya. Cryoterapi adalah salah satu kaedah yang digunakan untuk menghancurkan sel metastasis di dalam hati. Kaedah ini memerlukan satu probe khas diletakkan berhampiran dengan bahagian kanser. Probe digunakan untuk memberikan suhu sejuk yang melampau kepada tapak kanser, suhu ini dihasilkan oleh nitrogen cecair atau gas argon. Perletakan probe boleh dipandu menggunakan ultrasound atau tomografi yang dikira (x-ray yang khas). Proses pembekuan yang pantas dapat membunuh sel kanser, dan mengurangkan saiz kanser tersebut. Walaubagaimanapun, masih tidak jelas jika rawatan ini dapat memanjangkan hayat atau meningkatkan kualiti hidup pesakit yang terlibat.

Kami telah mengulas bukti tentang kesan cryoterapi dalam memusnahkan kanser metastasis di dalam hati. Kami mencari kajian-kajian yang menilai keberkesanan cryoterapi dengan membandingkan antara tanpa rawatan ataupun lain-lain rawatan untuk pesakit dengan metastasis hati daripada mana-mana lokasi kanser. Kami bertujuan menilai kesan cryoterapi termasuklah risiko kematian, kualiti hidup dan kesan buruk (kesan sampingan disebabkan oleh rawatan).

Ciri-ciri kajian

Kali terakhir kami mencari sumber kajian adalah pada Jun 2018. Kami menyertakan satu kajian yang dijalankan di Ukraine yang mana sebanyak 66% pesakit terdiri daripada mereka yang menghidap kanser usus (colorectal), tetapi terdapat juga pesakit-pesakit kanser perut, payudara, kulit, dan tumor lain. Kesemua mereka mempunyai kanser yang telah merebak ke hati. Dalam kajian ini, 123 peserta telah diletakkan secara rawak untuk menerima sama ada rawatan cryoterapi (63 orang) ataupun pembedahan konvensional (membuang bahagian hati yang terjejas oleh kanser; 60 orang).

Pembiayaan

Kajian ini tidak memberikan sebarang maklumat mengenai pembiayaan yang diterima.

Hasil-hasil utama

Kajian ini berisiko tinggi untuk berat sebelah. Para peserta yang terlibat telah diikuti perkembangannya sehingga 10 tahun (minimum lima bulan). Kajian tersebut melaporkan bahawa kematian pada 10 tahun berikutnya adalah 81% (51/63) dalam kumpulan cryoterapi dan 92% (55/60) dalam kumpulan pembedahan konvensional. Kami menilai bahawa bukti mempunyai kepastian yang rendah. Kami mendapati tiada bukti dalam perbezaan perkadaran dalam peserta dengan kanser hati berulang: 86% (54/63) peserta dalam kumpulan cryoterapi dan 95% (57/60) peserta dalam kumpulan pembedahan konvensional menghidap kanser yang baru (bukti kepastian pada tahap rendah). Kekerapan laporan komplikasi adalah sama di antara kumpulan cryoterapi dan kumpulan pembedahan konvensional, kecuali untuk sakit selepas pembedahan. Sakit yang tidak keterlaluan dan ketara telah dilaporkan lebih kerap dalam kumpulan cryotherapi manakala sakit yang sangat ketara kerap dilaporkan dalam kalangan pembedahan konvensional. Walaubagaimanapun, tiada laporan tentang bukti perbezaan. Kekerapan kesan yang tidak diingini (kesan buruk atau komplikasi) kebanyakannya adalah sama dalam kedua-dua kumpulan, namun tahap dan kekerapan kesakitan yang dialami adalah berbeza antara kumpulan. Tiada kematian yang berkaitan dengan intervensi atau kebocoran hempedu. Kajian ini tidak menyediakan data tentang kualiti hidup, kematian disebabkan kanser dan masa perkembangan metastasis hati.

Kebolehpercayaan bukti

Bukti untuk keberkesanan cryoterapi berbanding pembedahan konvensional dalam kalangan pesakit metastasis hati adalah rendah tahap kepastiannya. Kami tidak pasti tentang anggaran kami dan tidak dapat menentukan sama ada cryoterapi atau pembedahan konvensional berfaedah atau berbahaya. Kami tidak menjumpai bukti tentang faedah atau bahaya cryoterapi berbanding dengan tanpa rawatan, atau berbanding rawatan sistemik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save