Rawatan bersiri berbanding rawatan tiga serangkai untuk pembasmian jangkitan Helicobacter pylori

Soalan ulasan

Untuk menganggarkan perbezaan dalam kadar penyembuhan, dan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh meningkatkan atau mengurangkan kadar penyembuhan oleh kedua-dua jenis rawatan berkenaan.

Latarbelakang

Penyebab utama ulser dan kanser pada gaster adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria Helicobacter pylori, micro-organism berbahaya yang boleh membuat kolonisasi pada gaster manusia. Data yang diterbitkan menunjukkan bahawa bakteria ini wujud dalam hampir separuh daripada populasi di dunia. Kolonisasi bakteria ini membawa kepada jangkitan kronik yang lama kelamaan boleh mengubah fungsi perut, struktur tisu, dan juga kitaran sel, juga dapat menghasilkan pelbagai gejala dan penyakit.

Walaupun mikro-organisma ini boleh ditindakkan dengan antibiotik tradisional, ia mempunyai rintangan yang kuat terhadap rawatan, dan terdapat peratusan kes yang tinggi dimana ia boleh hidup jika dirwat dengan terapi antibiotik tunggal dan berganda. Pelbagai kombinasi antibiotik telah digunakan dan kaedah rawatan yang terbaik masih tidak jelas. Saranan yang paling lazim ialah "standard triple therapy" (STT), yang mengandungi dua antibiotik (clarithromycin; dan nitroimidazole atau amoxicillin) dan pelindung perut (omeprazole). Walau bagaimanapun, beberapa kajian telah menunjukkan bahawa STT gagal dalam lebih daripada satu dalam lima orang yang dirawat, oleh itu para pengkaji mencadangkan untuk menggantikan STT ini dengan rawatan "non-bismuth quadruple sequential" (SEQ), yang mengandungi fasa pertama dengan rawatan dua serangkai (amoxicillin dan omeprazole), diikuti oleh fasa rawatan tiga serangkai (nitroimidazole, clarithromycin dan omeprazole).

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari pangkalan data elektronik dan abstrak persidangan untuk mengenal pasti sebarang kajian yang berkaitan. Kami memilih 44 kajian yang menguji dan membandingkan kadar penyembuhan oleh rawatan SEQ berbanding STT. Tinjauan kami meliputi penyelidikan sehingga April 2015.

Keputusan utama

Tinjauan ini menunjukkan bahawa sebelum 2008 kadar penyembuhan untuk rawatan SEQ adalah lebih tinggi daripada STT. Walau bagaimanapun, kadar penyembuhan kedua-dua rawatan ini adalah lebih rendah daripada yang kita ingini. Tinjauan ini mendapati bahawa keberkesanan rawatan bergantung kepada beberapa faktor termasuk rantau geografi yang terlibat dalam kajian, ketahanan bakteria, dan tarikh kajian. Sebagai contoh, kami mendapati penurunan dalam kadar penyembuhan dari masa ke masa dalam kedua-dua rawatan STT dan SEQ, dengan pengurangan yang lebih ketara bagi SEQ. Ini bermakna bahawa dalam kajian-kajian yang diterbitkan selepas 2008, SEQ tidaklah lebih berkesan daripada rawatan tiga serangkai apabila kedua-duanya diberikan selama 10 hari.

Bukti dikumpulkan dan digabungkan dalam tinjauan ini tidak menyokong penggunaan terapi SEQ, kerana keberkesanannya boleh disamakan bahkan diperbaiki dengan rawatan STT yang lebih baik (diberikan untuk 10 atau 14 hari, atau perencatan asid yang tinggi). Keputusan untuk SEQ hanya separuh berjaya. Kita perlu mencari satu lagi bentuk terapi untuk memberi rawatan terbaik kepada pesakit.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang dipilih dalam tinjauan ini adalah daripada kualiti yang bercampur-campur, tetapi analisis kami tidak mencadangkan bahawa kualiti kajian berkenaan mempengaruhi kadar penyembuhan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi nila@pmc.edu.my. Disunting oleh Azlan Husin (USM)

Tools
Information