Pemanasan badan untuk individu yang menjalani pembedahan untuk mengelakkan komplikasi dan meningkatkan keselesaan selepas pembedahan

Soalan ulasan

Kami mengulas kesan memanaskan badan dengan memindahkan haba melalui permukaan kulit untuk mengelakkan komplikasi yang disebabkan oleh suhu badan rendah yang tidak diingini (hipotermia) pada orang dewasa yang menjalani pembedahan.

Latar belakang

Sedatif dan anestesia mengganggu tindak balas pengawalseliaan suhu dan seterusnya boleh menyebabkan hipotermia yang tidak dirancang semasa pembedahan dan sejurus selepas pembedahan. Tempoh lama pendedahan permukaan besar kulit kepada suhu sejuk di dalam bilik pembedahan juga boleh menyumbang kepada kesan ini. Hipotermia boleh menjadikan proses pemulihan lebih tidak selesa untuk pesakit, kerana mereka sering terjaga dengan kesejukan dan menggigil, tindak balas luar kawalan terhadap sejuk untuk meningkatkan pengeluaran haba badan. Hipotermia juga mungkin berkaitan dengan kejadian yang tidak diingini seperti jangkitan dan komplikasi luka, komplikasi jantung dan peredaran darah, peningkatan pendarahan dan keperluan yang lebih besar untuk pemindahan darah.

Untuk mengelakkan hipotermia yang tidak diingini ini, beberapa jenis sistem pemanasan aktif yang berbeza digunakan untuk memindahkan haba ke badan pesakit melalui kulit, sama ada sejurus sebelum atau semasa pembedahan, atau kedua-duanya.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan 67 kajian rawak terkawal (5438 orang). Kajian memasukkan pesakit dari semua peringkat umur dan kedua-dua jantina yang menjalani semua jenis pembedahan. Bukti adalah daripada kajian yang tersedia hingga Oktober 2015. Empat puluh lima kajian membandingkan sistem pemanasan dengan intervensi kawalan, 18 membandingkan jenis sistem pemanasan yang berbeza, dan 10 membandingkan modaliti berbeza sistem pemanasan yang sama. Pemanasan udara paksa adalah sistem yang paling banyak dikaji.

Keputusan utama

Pemanasan aktif mempunyai beberapa kesan klinikal yang bermanfaat terhadap pesakit. Ia mengurangkan risiko komplikasi utama jantung dan peredaran darah dalam satu kajian pada individu yang mempunyai penyakit utama berkaitan sistem itu, tetapi bukti masih tidak dapat disimpulkan. Pemanasan aktif mengurangkan kadar jangkitan dan komplikasi luka pembedahan.. Kesan ini ditunjukkan dalam dua kajian yang agak besar pada individu yang menjalani pembedahan abdomen; pemanasan udara paksa telah digunakan secara eksklusif sebelum pembedahan dalam satu kajian, manakala yang lain ia digunakan semasa pembedahan. Pesakit yang menerima sistem pemanasan aktif mempunyai kira-kira satu pertiga risiko kesejukan atau menggigil selepas pembedahan berbanding mereka yang menerima rawatan kawalan (29 ujian, 1922 orang). Keselesaan terma telah meningkat untuk pesakit berbanding dengan intervensi kawalan (10 kajian yang melibatkan 700 orang). Sebaliknya, pemanasan membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap risiko kematian, kehilangan darah atau keperluan untuk pemindahan darah. Kami mendapati tiada perbezaan dalam bilangan serangan jantung yang tidak membawa maut, dalam kebimbangan atau kesakitan, berbanding dengan individu dalam kumpulan kawalan.

Kajian dalam ulasan tidak membenarkan kami mengenal pasti sistem pemanasan mana yang lebih baik. Walau bagaimanapun, terdapat petunjuk daripada satu kajian dengan risiko rendah berat sebelah bahawa keputusan adalah lebih baik apabila pemanasan sistemik dilanjutkan kepada tempoh sebelum pembedahan pada individu yang menjalani pembedahan utama di abdomen. Kami hanya boleh mendapatkan maklumat terhad daripada laporan kajian berkenaan kesan buruk. Dalam sesetengah kes kajian melaporkan bahawa tiada kesan buruk.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah untuk jangkitan tapak pembedahan dan komplikasi jantung dan peredaran darah. Ini kerana sangat sedikit kajian dengan beberapa kejadian yang melaporkan hasil ini, walaupun ia berisiko rendah berat sebelah. Pesakit berbeza dalam jenis pembedahan, dengan kerumitan dan tempoh yang berbeza, jenis anestesia, umur pesakit, keterukan keadaan dan penyakit lain. Kajian tidak bertahan lama, yang menyukarkan untuk mengesan kesan klinikal. Hasil ini juga sangat dipengaruhi oleh komponen pengurusan lain semasa pembedahan yang kami tidak nilai dalam ulasan ini. Walaupun sesetengah kajian menggunakan satu intervensi, yang lain menggunakan dua atau lebih intervensi dalam gabungan, dan/atau memasukkan kaedah pemanasan pasif yang lain. Kumpulan kawalan tidak selalu terdiri daripada 'kawalan tulen' tanpa pemanasan aktif, dan kadang-kadang pesakit juga menerima intervensi lain sebagai sebahagian daripada penjagaan biasa. Semua sebab ini mungkin menjelaskan kepelbagaian yang kami perhatikan untuk beberapa hasil dalam kalangan kajian. Suhu kumpulan kawalan mungkin juga telah dikawal dengan lebih ketat, kerana kini terdapat kesedaran yang meluas tentang risiko hipotermia.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information