Pemeriksaan kesihatan umum untuk mengurangkan penyakit dan kematian

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan utama untuk ulasan Cochrane ini adalah untuk mengenalpasti sekiranya pemeriksaan kesihatan umum dapat mengurangkan penyakit dan kematian. Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane terdahulu.

Mesej-mesej utama

Tawaran pemeriksaan kesihatan secara sistematik tidak memungkinkan memberi manfaat dan boleh menjurus kepada adanya ujian-ujian dan rawatan-rawatan yang tidak perlu.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pemeriksaan kesihatan umum melibatkan beberapa ujian pada seseorang yang tidak merasakan dirinya sakit. Tujuannya adalah untuk mengenalpasti penyakit lebih awal, mencegah penyakit daripada melarat, atau memberi jaminan kesihatan. Pemeriksaan kesihatan adalah elemen penjagaan kesihatan yang biasa di beberapa negara. Pengalaman daripada program pemeriksaan untuk penyakit-penyakit individu telah menunjukkan bahawa manfaat mungkin lebih kurang daripada yang dijangkakan dan keburukan adalah lebih banyak. Kami mengenal pasti dan menganalisis semua kajian secara rawak yang membandingkan orang awam yang diundang untuk satu atau lebih pemeriksaan kesihatan dan orang awam yang tidak diundang. Kami menganalisis kesan penyakit dan risiko kematian, serta keputusan lain yang mencerminkan penyakit, sebagai contoh, kemasukan ke hospital dan ketidakhadiran di tempat kerja.

Apakah keputusan utama ulasan?

Kami mendapati 17 kajian secara rawak yang telah membandingkan sekumpulan orang dewasa yang ditawarkan pemeriksaan kesihatan umum kepada kumpulan yang tidak ditawarkan pemeriksaan kesihatan.

Lima belas kajian telah melaporkan keputusan dan melibatkan 251,891 peserta. Sebelas daripada kajian ini telah mengkaji risiko kematian, dan melibatkan 233,298 peserta dan menilai 21,535 kematian. Ini adalah jumlah data yang luar biasa besarnya dalam penyelidikan penjagaan kesihatan, yang membolehkan kami membuat kesimpulan utama kami dengan kepastian yang tinggi. Pemeriksaan kesihatan mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kematian daripada sebarang sebab (bukti kepastian tinggi), atau risiko kematian akibat kanser (bukti kepastian tinggi), dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kematian disebabkan kardiovaskular (bukti kepastian sederhana). Begitu juga, pemeriksaan kesihatan mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap penyakit jantung (bukti kepastian tinggi) dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada strok (bukti kepastian sederhana).

Kami mencadangkan bahawa salah satu sebab kekurangan kesan yang jelas mungkin adalah doktor penjagaan primer telah mengenal pasti dan melakukan intervensi apabila mereka mengesyaki seorang pesakit berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit apabila mereka melihatnya atas sebab-sebab lain. Juga, mereka yang berisiko tinggi menghidapi penyakit mungkin tidak menghadiri pemeriksaan kesihatan umum apabila dijemput atau tidak mengikuti ujian dan rawatan yang dicadangkan.

Adakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mengenal pasti kajian yang telah diterbitkan sehingga 31 Januari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fairuz Fadzilah Rahim (RCSI UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Dr Intan Juliana Abd Hamid, Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM. Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi fairuzfr@yahoo.com.

Tools
Information