Eplerenone untuk tekanan darah tinggi

Soalan ulasan

Tujuan kajian ini adalah untuk menentukan keberkesanan eplerenone dalam mengurangkan tekanan darah, profil kesan sampingan, dan kesannya terhadap hasil klinikal yang bermakna seperti kematian dan morbiditi.

Latar belakang

Doktor telah menggunakan eplerenone untuk merawat tekanan darah tinggi sejak 2002. Ia adalah penting untuk menentukan kesan klinikal dalam semua ubat antihipertensi yang digunakan pada pesakit untuk menyokong penggunaannya dalam perawatan tekanan darah tinggi. Kami telah mencari pelbagai pangkalan data dan mendapati lima kajian yang layak yang mana terdapat 1437 orang yang menerima sama ada eplerenone atau tiada ubat dengan cara rawak.

Ciri-ciri kajian

Dos eplerenone digunakan dalam kajian ini adalah dari 25 mg hingga 400 mg setiap hari. Kajian-kajian ini mengikuti pesakit selama 8 hingga 16 minggu semasa terapi. Tiada satu kajian yang melaporkan hasil klinikal bermakna mengenai eplerenone, seperti sama ada eplerenone boleh mengurangkan serangan jantung, strok, atau kematian berbanding dengan plasebo. Hanya tiga daripada lima kajian yang melaporkan kesan sampingan.

Keputusan-keputusan utama

Tiada bukti pada masa ini menunjukkan bahawa eplerenone mempunyai kesan yang baik pada jangka hayat atau komplikasi berkaitan dengan tekanan darah tinggi (contohnya serangan jantung, strok). Bukti risiko kesan sampingan dengan eplerenone adalah terhad dan tidak berkualiti; ia adalah sukar untuk memberitahu sejauh mana bahaya penggunaan eplerenone berbanding dengan plasebo. Meta-analisis ini menunjukkan bahawa eplerenone 50 hingga 200 mg/hari dapat mengurangkan tekanan darah sistolik sebanyak kira-kira 9 mmHg dan tekanan darah diastolik sebanyak 4 mmHg berbanding dengan tanpa sebarang ubat.

Kualiti bukti

Kami telah mengkelaskan lima kajian yang terpilih sebagai kualiti yang sederhana, kerana penulis tidak menghuraikan secara luas di bahagian metodologi mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Andey Rahman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information