Kesan buruk awal dan lewat ke atas buah pinggang selepas rawatan untuk barah peringkat kanak-kanak

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai kekerapan (prevalens), dan apa penyebab yang mungkin (faktor-faktor risiko), kesan-kesan buruk awal dan lewat (kesan sampingan), ke atas buah pinggang pesakit-pesakit barah kanak-kanak yang terselamat (CCS).

Latarbelakang

Penambahbaikan dalam diagnostik dan rawatan bagi barah kanak-kanak telah menghasilkan peningkatan major dalam kelangsungan hidup. Bagaimanapun, CCS berisiko mengalami kesan-kesan buruk terhasil dari rawatan barah mereka, termasuk kesan-kesan buruk ke atas buah pinggang. Hanya sedikit diketahui mengenai prevalens dan faktor-faktor risiko masalah fungsi buah pinggang dalam CCS berjangka panjang. Buah pinggang boleh mengimbangi untuk masalah-masalah dalam kefungsiannya, tetapi, beberapa simptom boleh dialami dengan masa, bergantung kepada fungsi buah pinggang yang terjejas.

Ciri-ciri kajian

Bukti terkini sehingga Mac 2017. Kami telah masukkan 61 kajian; 46 mengenai prevalens, enam untuk keduanya prevalens dan faktor risiko, dan sembilan kajian yang tidak menemui kesemua keperluan bagi ulasan ini, tetapi telah menilai faktor-faktor risiko (kajian-kajian yang tidak layak). Peserta-peserta kajian telah menerima rawatan sebelum berumur 21 tahun dengan kemoterapi (iaitu cisplatin, carboplatin, ifosfamide), radiasi, atau pembedahan melibatkan buah pinggang, atau gabungan rawatan-rawatan ini. Kajian-kajian telah berlaku sekurang-kurangnya satu tahun selepas peserta telah selesai rawatan mereka. 52 kajian yang menilai prevalens kesan-kesan buah pinggang yang buruk telah melibatkan 13,327 peserta, yang mana 4499 telah melalui ujian fungsi buah pinggang. Kajian-kajian sangat berbeza antara satu dengan yang lain, dalam jenis peserta dan rawatan, jangkamasa susulan dan bagaimana keputusan rawatan diukur, dan kualiti kaedah mereka adalah bervariasi.

Keputusan utama

Peratusan CCS dengan masalah buah pinggang adalah antara 0% hingga 84%. Pelaporan faktor-faktor risiko adalah kerap tak konsisten di kalangan kajian.

Prevalens penyakit buah pinggang kronik adalah antara 2.4% hingga 32% dalam 244 peserta (7/52 kajian).

Tiga puluh enam dari 52 kajian, termasuk sekurang-kurangnya 432 peserta, menjalani ujian fungsi buah pinggang yang dinamakan kadar saring glomerulus (GFR). GFR yang tidak normal didapati terdapat dalam 0% hingga 73.7% peserta. Satu kajian yang layak menemui peningkatan risiko GFR tak normal dalam peserta yang telah dirawat dengan penyinaran keseluruhan tubuh (TBI) dan telah menerima jenis antibiotik tertentu (aminoglikosida dan vancomycin). Empat kajian yang tidak layak telah melaporkan peningkatan risiko GFR tak normal bagi peserta yang dirawat dengan pembedahan buah pinggang dan ifosfamide. Beberapa kajian juga melaporkan cisplatin dan tempoh yang panjang bagi susulan merupakan faktor-faktor risiko.

Dua puluh dua dari 52 kajian, melibatkan 851 peserta, telah menilai dan menemui jumlah protin dalam urin yang tak normal dalam 3.5% hingga 84% daripada peserta-peserta. Faktor-faktor risiko, yang telah dinilai oleh tiga kajian yang tidak layak, telah masukkan cisplatin, ifosfamide, TBI, dan gabungan pembedahan dan radiasi yang melibatkan buah pinggang. Bagaimanapun, tidak ada persetujuan bersama bagi keputusan kajian-kajian ini, dan kami tidak dapat menganalisis bersama keputusan-keputusan mereka kerana mereka menggunakan definisi yang berbeza.

Sebelas dari 52 kajian melihat kepada aras fosfat dalam darah yang rendah (hipofosfatemia), atau masalah dengan penyerapan semula fosfat oleh buah pinggang dalam 246 peserta. Prevalens hipofosfatemia adalah antara 0% dan 36.8% dalam 287 peserta. Kajian menemui masalah dengan penyerapan semula fosfat oleh buah pinggang dalam 0% hingga 62.5% peserta. Satu kajian yang tidak layak telah mengkaji faktor-faktor risiko, tetapi tidak dapat menemui apa-apa kaitan dengan hipofosfatemia.

Empat dari 52 kajian, termasuk 128 CCS, telah menilai aras magnesium yang rendah dalam darah (hipomagnesemia). Prevalens adalah antara 13.2% dan 28.6%. Dua kajian yang tak layak mengenalpasti cisplatin sebagai faktor risiko hipomagnesemia. Faktor risiko lain yang telah dilaporkan adalah carboplatin, pembedahan buah pinggang, dan masa susulan. Bagaimanapun, kajian-kajian adalah bercanggahan.

Prevalens tekanan darah tinggi adalah antara 0% hingga 50% dalam 2464 peserta (30/52 kajian). Faktor-faktor risiko yang dilaporkan oleh satu kajian yang layak adalah umur yang lebih tua semasa penyaringan dan radiasi yang melibatkan buah pinggang. Indeks jisim badan yang tinggi dilaporkan sebagai faktor risiko oleh tiga kajian yang tak layak. Faktor-faktor risiko lain yang dilaporkan termasuk masa susulan, dan radiasi yang melibatkan buah pinggang atau TBI. Bagaimanapun, kajian-kajian adalah bercanggahan.

Kualiti bukti

Semua kajian menunjukkan masalah yang boleh menjejaskan keyakinan kami dalam keputusan mereka. Penambahan, dan terutamanya penyelidikan yang berkualiti lebih tinggi diperlukan untuk memperoleh maklumat yang lebih mendalam kesan sampingan buah pinggang yang tidak diingini dan faktor risiko yang berkaitan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia).Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save