Udara berbanding salina dalam teknik hilang rintangan untuk pengenalpastian ruang epidural

Soalan ulasan

Teknik manakah, udara atau salina lebih berefikasi dan selamat untuk mengurangkan komplikasi semasa teknik hilang rintangan (kehilangan tekanan pada pelocok picagari, membuatkan pelocok menggelongsor lancar) untuk pengenalpastian ruang epidural, dan apakah panduan yang boleh disediakan untuk klinisian dalam amalan klinikal? (Ruang epidural mengelilingi korda spina dan lapisan-lapisan yang menutupinya, di mana saraf spinal melaluinya semasa berhubung dengan saraf-saraf lain menuju kepada dan dari semua bahagian badan.)

Latar belakang

Satu tinjauan dalam kalangan pakar anestesiologi menunjukkan 53% menggunakan teknik hilang rintangan (LOR) dengan salina, 37% menggunakan LOR dengan udara dan 6% LOR dengan kedua-dua udara dan salina; 3% menggunakan teknik lain dengan atau tanpa salah satu pendekatan LOR tersebut. Kaedah yang digunakan untuk pengenalpastian ruang epidural adalah penting untuk anestesia berkualiti tinggi dan pengelakkan komplikasi seperti hematoma epidural (iaitu pengumpulan darah di antara tengkorak dengan dura mater) dan sakit belakang sekali sekala.

Ciri-ciri kajian

Orang dewasa (18 tahun dan ke atas) yang menjalani prosedur pembedahan, wanita hamil dalam proses pelahiran dan pesakit yang menerima pelega sakit pascabedah. Bukti adalah terkini sehingga September 2013. Kami mendapati tujuh kajian melibatkan sejumlah 852 peserta. Tempoh maksimum setiap peserta disusul oleh doktor ialah 24 jam selepas bersalin. Kualiti kajian-kajian yang dimasukkan adalah munasabah.

Keputusan utama

Keputusan berikut dinilai: ketidakupayaan mencari ruang epidural; kegagalan perletakan kateter (salah kemasukan kateter); kegagalan gabungan epidural spinal (kes kegagalan teknik anestesia sebahagian yang menggabungkan manfaat anestesia spinal dan epidural); segmen yang tidak tersekat (sekatan tidak sekata); dan sakit. Kami dapati tiada bukti yang menyakinkan bahawa keputusan adalah berbeza apabila udara atau salina diguna.

Kualiti bukti

Oleh kerana kajian-kajian yang dijalankan agak munasabah (keputusan adalah sama di antara kajian-kajian; isu kecil tentang reka bentuk kajian; data yang tidak cukup), kami menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai rendah. Kebolehgunaan penemuan-penemuan mungkin berkompromi, kerana kebanyakan keputusan dalam ulasan ini diperoleh daripada pesakit parturien.

Rumusan dan penyelidikan lanjut

Bukti berkualiti rendah menunjukkan keputusan tidak berbeza antara udara dan salina dalam penggunaan teknik hilang rintagan untuk pengenalpastian ruang epidural dan mengurangkan komplikasi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save