Rawatan untuk ketegangan (kontraksi otot yang terlampau aktif) selepas kecederaan otak

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti tentang kesan rawatan (rawatan ubat dan rawatan bukan ubat) terhadap ketegangan otot selepas kecederaan otak yang disebabkan oleh hantukkan ke atas kepala (kecederaan otak traumatik, TBI).

Latar belakang

Banyak pesakit dengan kecederaan otak traumatik mengalami ketegangan otot apabila otot mereka mengecut atau mengetat tanpa kawalan sendiri. Ini akan mengganggu kemampuan seseorang untuk melakukan aktiviti harian dengan menyebabkan sakit, kekejangan dan kepecahan kulit. Terdapat banyak rawatan yang digunakan untuk mengawal ketegangan termasuk ubat-ubatan, tuangan (casting), splin dan regangan. Rawatan-rawatan tersebut selalunya digunakan secara gabungan.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sembilan kajian dalam ulasan ini yang melibatkan 134 orang peserta dengan kecederaan otak traumatik. Hanya lima kajian yang menglibatkan 105 orang memberikan hasilan yang berguna. Kajian-kajian tersebut menguji keberkesanan pelbagai jenis rawatan termasuk ubat-ubatan (baclofen atau botulinium toxin A), tuangan, fisioterapi, splin, meja yang menggerakkan seseorang daripada posisi berbaring kepada berdiri, dan perangsang elektrik (di mana impuls elektrik disalurkan kepada otot-otot). Kajian-kajian yang tidak melaporkan hasilan yang mencukupi telah menguji keberkesanan ubat-ubatan (baclofen atau tizanidine).

Sumber pembiayaan kajian

Daripada lima kajian yang mempunyai hasilan, tiga kajian dibiayai oleh kerajaan, kebajikan atau perkhidmatan kesihatan manakala dua kajian dibiayai oleh pengilang ubat dan syarikat teknologi perubatan. Empat kajian yang tidak mempunyai hasilan yang berguna dibiayai oleh pengilang ubat atau syarikat-syarikat teknologi perubatan.

Hasilan utama

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2017.

Pentafsiran hasilan daripada kajian-kajian tersebut adalah susah disebabkan kekurangan maklumat dan kebimbangan tentang kualiti bukti. Bagi ketegangan, sesetengah kajian membuat kesimpulan bahawa rawatan yang diuji mendatangkan kebaikan manakala kajian yang lain tidak menemui perbezaan antara rawatan yang berlainan. Kesan sampingan yang paling kerap ialah luka kulit yang ringan dalam golongan yang menerima tuangan. Kami percaya bahawa penerangan yang selanjutnya tentang hasilan kajian-kajian tersebut akan mengelabui orang ramai kerana kualiti bukti adalah sangat rendah bagi semua aspek yang dinilai.

Kualiti bukti

Kualiti bukti ini adalah sangat rendah. Kami hanya mempunyai lima kajian yang berhasil dan langsung tiada kajian merupakan kajian yang besar atau kajian yang boleh dibandingkan antara satu sama lain. Kami juga berasa bimbang tentang cara kajian-kajian tersebut dilakukan atau dianalisis. Oleh sebab itu, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang tegas tentang faedah dan keburukan pelbagai jenis rawatan bagi ketegangan otot dalam golongan pesakit kecederaan otak traumatik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information