Tambahan eslicarbazepine acetate untuk epilepsi separa tahan ubat

Soalan ulasan

Ulasan ini adalah kemaskini ulasan terdahulu yang diterbitkan di Perpustakaan Cochrane 2011, Isu 12. Kami mengulas bukti tentang keberkesanan dan keselamatan eslicarbazepine acetate apabila diguna sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi separa tahan ubatan.

Latar belakang

Eslicarbazepine acetate adalah ubat antiepileptik yang boleh ditambah (dipanggil rawatan 'tambahan') bersama ubat-ubatan lain untuk merawat orang yang mengambil ubat antiepileptik lain tetapi berterusan mendapat sawan. Ubat ini mungkin bermanfaat kepada orang yang mengambil ubat antiepileptik lain tetapi berterusan mendapat sawan. Ulasan ini melihat bagaimana eslicarbazepin acetate berfungsi apabila diguna sebagai rawatan tambahan dan keburukan atau kesan sampingannya.

Ciri-ciri kajian

Bukti ini adalah terkini sehingga Disember 2016. Kami memasukkan lima kajian klinikal dengan 1799 peserta berusia 16 hingga 77 tahun. Kajian-kajian yang dimasukkan mempunyai pelbagai tempoh rawatan di antara 12 hingga 14 minggu. Kesemua lima kajian adalah kajian rawak terkawal, yang bermaksud orang secara rawak dibahagikan kepada kumpulan dan dibandingkan.

Keputusan utama

Ulasan ini mendapati eslicarbazepine acetate berkesan apabila diguna bersama ubat-ubatan lain untuk mengurangkan bilangan sawan dalam epilepsi separa tahan ubat. Orang yang mengambil eslicarbazepine acetate lebih cenderung untuk tidak mendapat sawan daripada orang yang mengambil plasebo, tetapi mereka lebih cenderung untuk menarik diri daripada rawatan eslicarbazepine acetate kerana kesan sampingan. Kesan sampingan yang berkaitan dengan eslicarbazepine acetate adalah pening, loya (rasa sakit), somnolen (mengantuk), muntah (berasa sakit) dan diplopia (mempunyai penglihatan berganda).

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, lima kajian itu menggunakan kaedah yang baik, dan kualiti bukti dalam ulasan ini adalah sederhana hingga tinggi. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk melihat kesan jangka panjang eslicarbazepine acetate dan untuk meneroka bagaimana ia berfungsi dalam kalangan kanak-kanak dengan epilepsi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save