Suplemen Vitamin D untuk wanita semasa kehamilan

Vitamin D boleh dihasilkan oleh badan manusia melalui dedahan kepada cahaya matahari dan juga boleh didapati dengan mengambil makanan seperti minyak-hati ikan, ikan berlemak, cendawan, kuning telur, dan hati. Vitamin D mempunyai banyak fungsi dalam badan; ia membantu mengekalkan keutuhan tulang dan keseimbangan kalsium.

Semasa kehamilan,kekurangan vitamin D boleh berlaku. Suplemen vitamin D semasa kehamilan telah dicadangkan untuk memperbaikkan keadaan kehamilan dan bayi dengan selamat. Ulasan ini termasuk 15 ujian rawak terkawal yang melibatkan 2833 wanita. Sembilan ujian telah membandingkan kesan vitamin D sahaja dengan plasebo atau tiada suplementasi, dan enam ujian telah membandingkan kesan vitamin D dan kalsium dengan tiada suplementasi.

Keputusan-keputusan ujian menunjukkan bahawa pemberian suplemen vitamin D semasa kehamilan menambahbaikkan paras vitamin D wanita tersebut, berasaskan paras 25-dihydroxyvitamin D yang diukur apabila kehamilan cukup bulan, dan boleh mengurangkan risiko kelahiran bayi pramatang (kurang daripada 37 minggu kehamilan), boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dalam wanita tersebut, dan boleh mengurangkan risiko kelahiran bayi kurang berat badan (kurang daripada 2500 g). Namun begitu, apabila vitamin D dan kalsium digabungkan, risiko bayi lahir pramasa nampaknya meningkat. Data untuk kesan-kesan mudarat terhadap ibu kurang dilapor.

Signifikasi klinikal peningkatan paras vitamin D dalam wanita tidak jelas dan keputusan-keputusan ujian perlu ditafsirkan dengan cermat kerana hanya terdapat beberapa ujian kecil yang berkualiti rendah yang telah menilai kesan peningkatan paras vitamin D dalam wanita.

Dengan bukti yang sedia ada, ia tidak jelas sama ada suplemen vitamin D patut diberi sebahagian rutin rawatan antenatal untuk memperbaikkan keadaan maternal dan bayi. Walaupun terdapat beberapa indikasi bahawa suplementasi vitamin D boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi, dan memanjangkan serta membesarkan lilitan kepala semasa lahir, lebih banyak ujian rawak teliti perlu dilakukan untuk mengesahkan kesan-kesan tersebut. Pada masa ini, bilangan ujian kualiti tinggi yang mempunyai saiz sampel besar dan keputusan-keputusan yang telah dilapor adalah terlalu terhad untuk membuat kesimpulan mengenai kegunaan dan keselamatannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foong Keng Wah, International Medical University. Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi kengwah96@gmail.com

Tools
Information
Share/Save