Adakah pengambilan suplemen vitamin D bermanfaat, berbahaya atau tidak memberikan sebarang kesan kepada wanita hamil atau bayi mereka?

Mesej utama

Pengambilan suplemen vitamin D semasa hamil boleh membantu meningkatkan hasil kesihatan tertentu di kalangan ibu dan bayi mereka serta mengurangkan risiko dapatan buruk (mudarat) semasa hamil.

Implikasi kesihatan awam

Kekurangan vitamin D semasa hamil telah dikaitkan dengan komplikasi kesihatan di kalangan ibu dan bayi mereka. Adalah dipercayai bahawa vitamin D tambahan melalui pengambilan suplemen semasa hamil mungkin diperlukan untuk melindungi daripada komplikasi-komplikasi ini.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Untuk menentukan sama ada pengambilan suplemen vitamin D semasa hamil boleh meningkatkan hasil kesihatan tertentu dengan selamat di kalangan ibu dan bayi mereka (seperti kurang kelahiran pramatang dan kurang bayi dengan berat lahir rendah) dan mengurangkan risiko dapatan buruk semasa hamil (seperti pendarahan berlebihan).

Apakah yang telah kami lakukan?

Ini adalah kemaskini ulasan yang pertama kali diterbitkan pada 2012 dan seterusnya dikemaskini pada 2016 dan 2019. Kami telah mencari kajian klinikal (Disember 2022) yang mengkaji pengambilan suplemen vitamin D, secara sendiri atau digabungkan dengan kalsium atau vitamin dan mineral lain, semasa hamil, berbanding plasebo atau tanpa intervensi. Kami mengulas setiap kajian menggunakan alat untuk menilai kebolehpercayaan mereka . Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang telah kami temui?

Versi terdahulu ulasan ini menyertakan 30 kajian. Dalam kemaskini ini, kami telah memindahkan 20 daripada kajian tersebut kepada 'menunggu klasifikasi' dan menyisihkan satu kajian disebabkan oleh kebolehpercayaan yang rendah. Kami telah menambah satu kajian baru. Ulasan semasa ini memasukkan sejumlah 10 kajian, 117 kajian yang telah disisihkan, 34 kajian menunggu penilaian dan tujuh kajian sedang berjalan.

Secara keseluruhannya, kami tidak pasti sama ada pengambilan suplemen vitamin D sahaja berbanding dengan tanpa intervensi atau plasebo (lapan kajian, 2313 wanita) mencegah darah tinggi kerana kehamilan, diabetes semasa hamil, bayi yang dilahirkan awal dari jangkaan dan penyakit buah pinggang dalam seting ini. Ia boleh menghalang pendarahan berlebihan yang teruk semasa kelahiran (walaupun ini berdasarkan satu kajian) dan ia boleh mengurangkan risiko melahirkan bayi dengan berat lahir rendah, tetapi peningkatan dalam risiko ini tidak boleh diketepikan pada peringkat ini. Tambahan lagi, kami tidak pasti sama ada pengambilan suplemen vitamin D bersama kalsium berbanding dengan plasebo atau tanpa intervensi (satu kajian, 84 wanita) mencegah bayi dilahirkan awal dari jangkaan dan berat lahir rendah. Tiada dapatan lain yang dilaporkan dalam satu-satunya kajian yang disertakan. Akhir sekali, kami tidak pasti sama ada pengambilan suplemen vitamin D + kalsium + vitamin dan mineral lain berbanding dengan kalsium + vitamin dan mineral lain (tetapi tiada vitamin D) (satu kajian, 1298 wanita) mencegah diabetes semasa hamil, kejadian maternal yang buruk, bayi dilahirkan awal dari jangkaan atau berat lahir rendah. Hasil-hasil lain tidak dilaporkan.

Apakah batasan bukti?

Kualiti dan saiz yang kecil hingga sederhana kebanyakan kajian adalah batasan-batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian memberikan data tentang hasil yang kami ingin tahu. Lebih banyak penyelidikan yang dijalankan dengan baik diperlukan supaya kami dapat lebih yakin tentang kesan pengambilan suplemen vitamin D semasa hamil terhadap hasil dapatan ini. Ini termasuklah penyelidikan tentang kejadian buruk yang mungkin berlaku, yang kekurangan dalam bukti semasa.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemah oleh Solihin Zahari (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).

Tools
Information