Probiotik untuk mencegah jangkitan saluran kencing dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak

Latar belakang

Jangkitan saluran kencing (UTI) berlaku di buah pinggang, ureter, uretra atau pundi kencing. UTI adalah salah satu daripada jangkitan bakteria yang paling lazim dan boleh membawa kepada masalah kesihatan lain.

Probiotik (mikroorganisma hidup di mana, apabila diberikan dalam jumlah yang cukup, memberi manfaat kesihatan kepada perumah) dianggap berfungsi mencegah jangkitan bakteria lain daripada merebak ke saluran kencing dan menyebabkan jangkitan. Kami berminat untuk mengkaji sebarang bentuk probiotik (bakteria yang diguna untuk mengubah keseimbangan bakteria) berbanding tanpa rawatan, antibiotik, terapi hormon, jus kranberi atau intervensi lain dalam kalangan orang yang berisiko UTI. Untuk menilai sama ada probiotik berkesan, kami merancang untuk mengukur berapa ramai orang yang mengalami UTI berulang.

Ciri-ciri kajian

Kami menjalankan carian kesusasteraan sehingga September 2015 dan sembilan kajian layak untuk dimasukkan mengikut kriteria pemilihan kami. Sembilan kajian-kajian tersebut melaporkan data 735 peserta dan probiotik yang diselidiki untuk mencegah UTI: tujuh kajian melibatkan wanita atau kanak-kanak perempuan dengan UTI berulang, satu kajian melihat kanak-kanak dengan saluran kencing yang abnormal, dan satu kajian yang menyiasat UTI dalam kalangan wanita sihat.

Keputusan utama

Pada amnya, kajian adalah berkualiti rendah dan berisiko bias tinggi. Selain dari populasi yang berlainan, terdapat juga banyak spesies probiotik yang digunakan, pelbagai bentuk dos seperti melalui faraj dan mulut, dan probiotik diberi untuk pelbagai tempoh masa. Kesemua faktor ini mungkin mempengaruhi keputusan kami.

Kebanyakan kajian tidak mengumpul maklumat mengenai kesan buruk jadi kami tidak dapat menganggarkan sebarang kemudaratan yang dikaitkan dengan terapi probiotik. Kami mendapati tiada pengurangan yang ketara dalam risiko UTI bakteria berulang di antara pesakit yang dirawat dengan probiotik dan plasebo dan tidak ada pengurangan ketara dalam risiko UTI bakteria berulang didapati di antara probiotik dan pesakit yang dirawat dengan antibiotik.

Kualiti bukti

Bukti sedia ada menunjukkan tiada pengurangan UTI dengan menggunakan probiotik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information