Pemulihan ingatan pada multiple sclerosis

Soalan ulasan

Adakah penghidap multiple sclerosis (MS) yang menerima pemulihan ingatan berbanding mereka yang tidak menerima rawatan, atau plasebo menunjukkan hasil segera, pertengahan atau jangka panjang yang lebih baik dalam:

1. fungsi ingatan,

2. kebolehan kognitif lain, dan

3. kebolehan berfungsi, dari segi aktiviti kehidupan seharian, mood, dan kualiti hidup?

Latar belakang

Penghidap multiple sclerosis (MS) sering bergelut dengan masalah ingatan, yang boleh membawa kepada kesukaran dalam kehidupan seharian. Pemulihan ingatan ditawarkan untuk membantu orang ramai mengatasi masalah ingatan, meningkatkan keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian, dan meningkatkan kebebasan dengan mengurangkan lupa. Pemulihan sedemikian boleh melibatkan penggunaan teknik dan strategi khusus untuk mengubah cara seseorang cuba mengingati, menyimpan atau mendapatkan semula ingatan. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada pemulihan ingatan berkesan dalam mengurangkan lupa atau meningkatkan prestasi aktiviti harian. Dari segi sejarah, terdapat beberapa kajian berkualiti baik yang menyiasat keberkesanan pemulihan ingatan pada orang yang mempunyai MS, tetapi kebelakangan ini terdapat beberapa kajian yang lebih besar. Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada bukti keberkesanan pemulihan ingatan telah berubah sejak versi ulasan kami sebelumnya.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini termasuk 44 kajian dengan 2714 peserta yang menerima pelbagai jenis teknik latihan semula ingatan, sesetengahnya menggunakan teknik restoratif (seperti program berkomputer) dan yang lain menggunakan pendekatan kompensasi (seperti alat bantuan ingatan seperti diari atau kalendar).

Keputusan utama dan kualiti bukti

Kemajuan besar telah dibuat sejak kemas kini terakhir ulasan ini, dan keputusan daripada ulasan ini menunjukkan bahawa kini terdapat bukti untuk menyokong penggunaan pemulihan ingatan pada orang yang mempunyai MS. Peserta yang menjalani pemulihan ingatan melaporkan fungsi ingatan dan kualiti hidup yang lebih baik berbanding mereka yang tidak menerima pemulihan ingatan, dan perbezaan ini ditemui serta-merta selepas intervensi selesai dan untuk beberapa lama selepas itu. Walau bagaimanapun, mereka yang menerima pemulihan ingatan tidak kelihatan bertambah baik dari segi gejala kegelisahan atau aktiviti harian mereka. Kemas kini ini telah menambah kajian yang besar dan berkualiti tinggi yang menjadi asas kepada penemuan kami, jadi bukti untuk menyokong keberkesanan pemulihan ingatan adalah lebih kukuh daripada kemas kini sebelumnya. Walau bagaimanapun, kami masih memerlukan kajian yang besar dan berkualiti tinggi yang mengkaji kesan jangka panjang pemulihan ingatan dan kajian yang menilai keberkesanan kos pemulihan ingatan pada pesakit MS.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information