Penggunaan intervensi psikologi pada wanita yang didiagnosis dan di bawah rawatan untuk kanser payu dara bukan metastatik

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti untuk kesan intervensi psikologi terhadap kesan psikologi dan kualiti hidup pada wanita yang menghidap kanser payu dara bukan metastatik (kanser yang tidak merebak di luar payu dara). Penulis Ulasan Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 60 kajian.

Latar belakang

Kanser payudara adalah kanser yang paling banyak menjejaskan wanita di seluruh dunia. Sebagai diagnosis yang membimbangkan, banyak penyelidikan telah mengkaji akibat psikologi apabila didiagnosis dan dirawat untuk kanser payu dara. Diagnosis dan rawatan kanser payu dara boleh menyebabkan kemurungan dan kegelisahan serta mengurangkan kualiti hidup. Akibatnya, pelbagai intervensi psikologi telah digunakan untuk membantu menangani tekanan psikologi yang dialami selepas diagnosis kanser payu dara.

Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021. Intervensi boleh disampaikan dalam tetapan berkumpulan (intervensi kumpulan), sebagai hubungan satu-sama-satu antara ahli terapi dan pesakit (intervensi individu), atau dalam bentuk terapi berpasangan di mana pesakit dan pasangannya menghadiri sesi terapi (intervensi pasangan). Kumpulan kawalan menerima risalah pendidikan atau mempunyai akses ke seminar atau kelas santai.

Carian komprehensif tentang penulisan telah dijalankan dan 60 kajian terdiri daripada 7998 peserta telah dimasukkan. Majoriti intervensi adalah berdasarkan terapi tingkah laku kognitif, yang melibatkan perubahan pemikiran dan tingkah laku seseorang. Secara amnya, kaedah untuk menilai hasil (seperti kegelisahan, kemurungan, kualiti hidup) selepas intervensi dan masa untuk penilaian ini adalah tidak seragam merentasi kajian.

Keputusan utama

Wanita yang menerima terapi psikologi menunjukkan pengurangan dalam kemurungan, kegelisahan, ganguan mood, dan tekanan, serta penambahbaikan dalam kualiti hidup berbanding kumpulan kawalan. Kesan terapi psikologi pada daya tahan dan kelangsungan hidup tidak dapat ditentukan kerana sedikit kajian yang mengumpulkan atau melaporkan hasil ini.

Kesan buruk tidak dilaporkan atau dikaji dalam mana-mana kajian yang dimasukkan.

Penyelidikan lanjutan seharusnya menyasarkan untuk menyediakan bukti untuk orang membuat keputusan termaklum tentang sama ada kesan rawatan ini kekal selepas terapi diberhentikan.

Kepastian bukti

Bukti bagi setiap hasil adalah berkepastian rendah. Intervensi berbeza antara kajian seperti kaedah dan masa ukuran hasil dan penjagaan yang diterima dalam kumpulan kawalan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information