Terapi tingkah laku berbanding dengan terapi psikologikal yang lain untuk kemurungan

Kemurungan utama adalah salah satu penyakit mental yang biasa yang bercirikan kesedihan yang berpanjangan dan hilang keseronokan dalam aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan, disertai oleh pelbagai gejala seperti hilang berat badan, gangguan tidur, tidak bermaya, cepat lesu, berasa bersalah, hilang tumpuan dan fikiran ingin membunuh diri. Sementara ubat anti kemurungan tetap sebagai rawatan yang penting untuk kemurungan di pusat-pusat penjagaan kesihatan, terapi psikologikal juga penting sebagai alternatif ataupun intervensi tambahan untuk penyakit kemurungan. Pada masa kini, pelbagai terapi psikologikal telah tersedia (seperti terapi kognitif-tingkah laku, terapi tingkah laku, terapi psikodinamik, terapi kemanusiaan dan terapi integratif). Ianya sangat penting untuk mengetahui sama ada satu jenis terapi psikologikal adalah lebih berkesan daripada yang lain, dan untuk mengenal pasti terapi psikologikal yang paling berkesan untuk kemurungan. Ulasan ini memberi tumpuan kepada salah satu daripada terapi psikologikal, iaitu terapi tingkah laku, kerana terapi ini agak mudah untuk disampaikan dan baru-baru ini terdapat banyak perhatian terhadap terapi ini. Terapi tingkah laku biasanya hanya berdasarkan prinsip operan dan responden, dan bertujuan untuk mengubah kemurungan pesakit dengan mengubah corak tingkah laku mereka. Sementara sejumlah model BT sudah dibangunkan, kami telah meletakkan sesetengah model di bawah kategori terapi tingkah laku dalam ulasan ini, contohnya: terapi tingkah laku (berdasarkan model Lewinsohn yang memberi tumpuan terhadap meningkatkan tahap aktiviti-aktiviti yang menyenangkan), pengaktifan tingkah laku (berasal dari komponen tingkah laku daripada terapi kognitif-tingkah laku, dan berdasarkan kerja Jacobson pada tahun 1996), latihan kemahiran sosial/latihan ketegasan dan terapi relaksasi.

Ulasan ini menilai keberkesanan dan kebolehterimaan terapi tingkah laku berbanding dengan semua terapi psikologikal yang lain sebagai rawatan untuk kemurungan fasa akut (bukan kemurungan jangka masa panjang ataupun kemurungan tahan rawatan) dalam kalangan orang dewasa. Dua puluh lima kajian rawak terkawal (RCT) termasuk dalam ulasan ini. Kualiti bukti dalam ulasan ini rendah disebabkan oleh isu-isu dengan reka bentuk kajian yang dijumpai dan kekurangan ketepatan dalam keputusan yang didapati. Walaupun kami mendapati bahawa terapi tingkah laku dan semua terapi psikologikal yang lain adalah sama dari segi keberkesanan dan kebolehterimaan, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teng Xiu Xin (Penang Medical College). Di sunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi xiuxin_c2017@ms.pmc.edu.my

Tools
Information