Apakah cara yang paling berkesan untuk mendengar secara berselang-seli jantung bayi semasa bersalin untuk meningkatkan kesejahteraan bayi?

Apakah isunya?

Salah satu kaedah memantau kesejahteraan bayi ialah mendengar degupan jantung janin dan coraknya secara berselang-seli semasa bersalin (auskultasi berselang-seli). Terdapat beberapa cara untuk mengukur kadar denyutan jantung bayi. Sesetengah alat untuk mendengar jantung bayi diperbuat daripada kayu, plastik atau aluminium (Pinard, Laennec dan fetoscope), dan terdapat juga alat elektronik dengan kecanggihan yang pelbagai, termasuk pegangan tangan (bateri atau dikendalikan kunci) Doppler ultrasound (Doppler) dan cardiotocogram (CTG), yang kadangkala dirujuk sebagai pemantauan janin elektronik (EFM).

Mengapakah hal ini penting?

Matlamat pemantauan adalah supaya bayi yang mengalami kesukaran dapat dikenal pasti dengan tepat dan intervensi (seperti pembedahan caesarean atau kelahiran melalui vagina) boleh digunakan untuk meningkatkan hasil bagi bayi.

Apakah bukti yang kami dapati?

Kami ingin melihat jenis alat mendengar dan masa untuk auskultasi berselang-seli yang paling berkesan. Kami menganggap peranti mendengar pegangan tangan, contohnya Doppler pegangan tangan dan pelbagai stetoskop Pinard. Kami mencari kajian (19 September 2016) dan menemui tiga kajian rawak terkawal dari Afrika, melibatkan 6241 wanita dalam proses bersalin. Data daripada salah satu kajian adalah tidak konsisten dan kami tidak dapat memasukkannya ke dalam keputusan. Ini bermakna 3242 wanita dan bayi mereka telah dimasukkan dalam analisis. Keputusan kajian mungkin berat sebelah kerana tidak mungkin membutakan wanita dan kakitangan, dan secara keseluruhan kualiti bukti dinilai sebagai berkualiti sederhana hingga sangat rendah.

Satu kajian membandingkan EFM berselang-seli dengan Pinard rutin dan tidak menunjukkan perbezaan yang jelas antara kumpulan dalam skor Apgar bayi yang rendah pada lima minit selepas kelahiran (bukti berkualiti sangat rendah) atau dalam kematian perinatal (bukti berkualiti rendah) walaupun sawan neonatal dikurangkan dalam kumpulan EFM (bukti berkualiti rendah). Hasil penting lain berkaitan bayi (seperti cerebral palsy) adalah tidak dilaporkan. Wanita yang mengalami EFM berselang-seli mempunyai kadar pembedahan caesarean yang lebih tinggi untuk gangguan janin (bukti berkualiti sederhana), tetapi tidak terdapat perbezaan yang jelas antara kumpulan dalam kelahiran vagina instrumental (bukti berkualiti rendah). Hasil penting lain untuk wanita tidak dilaporkan (kematian ibu, analgesia semasa bersalin, mobiliti atau sekatan semasa bersalin, dan kemurungan selepas bersalin).

Dua kajian membandingkan ultrasonografi Doppler dengan Pinard rutin. Tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan dalam skor Apgar rendah pada lima minit selepas kelahiran (sangat bukti berkualiti rendah) atau untuk kematian perinatal (sangat bukti berkualiti rendah), atau sawan neonatal (bukti kualiti sangat rendah). Hasil penting lain berkaitan bayi adalah tidak dilaporkan. Hanya satu kajian melaporkan hasil untuk wanita. Mereka yang menjalani ultrasonografi Doppler mempunyai kadar pembedahan caesarean yang lebih tinggi untuk gangguan janin berbanding dengan Pinard rutin (bukti berkualiti sederhana). Tiada perbezaan yang jelas dalam kelahiran vagina instrumental antara kumpulan (bukti berkualiti rendah). Hasil yang lain berkaitan ibu adalah tidak dilaporkan.

Satu kajian membandingkan Pinard intensif (bidan penyelidikan dalam situasi penjagaan satu sama satu) dengan Pinard rutin (bidan mungkin telah menjaga lebih daripada seorang wanita yang bersalin). Tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan dalam skor Apgar rendah (bukti berkualiti sangat rendah), kematian perinatal (bukti berkualiti sangat rendah), atau sawan neonatal (bukti berkualiti sangat rendah)). Hasil lain berkaitan bayi adalah tidak dilaporkan. Bagi wanita, tiada perbezaan yang jelas antara kumpulan untuk pembedahan caesarean atau kelahiran instrumental (kedua-dua bukti berkualiti rendah)) Hasil lain adalah tidak dilaporkan.

Apakah maksudnya?

Memandangkan EFM dan Doppler yang berselang-seli dikaitkan dengan kadar pembedahan caesarean yang lebih tinggi berbanding dengan pemantauan rutin Pinard, wanita, pengamal kesihatan dan pembuat dasar perlu mempertimbangkan keputusan ini sekiranya tiada bukti manfaat jangka pendek dan panjang untuk ibu atau bayi.

Kajian berkualiti tinggi yang besar membandingkan alat pemantauan yang berbeza dan masa untuk auskultasi berselang-seli adalah diperlukan. Kajian harus menilai hasil kesihatan jangka pendek dan jangka panjang, dan harus mengumpulkan maklumat tentang pandangan wanita.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information