Adakah insentif membantu untuk menghalang golongan muda daripada mula merokok dalam jangka masa sederhana hingga panjang?

Latar belakang

Kebanyakan perokok mula merokok sebelum mereka berumur 18 tahun. Mula merokok lebih awal dalam hidup bermakna seorang perokok akan merokok bertahun lebih lama daripada seseorang yang mula merokok kemudian, dan ini meningkatkan risiko kesihatan dari merokok. Memandangkan jumlah penggunaan tembakau yang tinggi di kalangan golongan muda dan masalah kesihatan yang mungkin timbul, mencari jalan untuk mencegah golongan muda daripada merokok adalah keutamaan kesihatan awam. Satu pendekatan baru untuk menghentikan golongan muda daripada mula merokok ialah penggunaan insentif, di mana golongan muda atau kumpulan golongan muda diberikan ganjaran kerana bebas rokok. Matlamat ulasan ini adalah untuk menilai kesan insentif dalam menghalang kanak-kanak dan remaja (berumur 5 hingga 18 tahun) daripada mula merokok.

Ciri-ciri kajian

Ini adalah kemas kini ulasan terdahulu. Versi pertama telah diterbitkan pada 2012 dan merangkumi tujuh kajian. Untuk kemas kini ini, kami telah mencari kajian baru pada Disember 2016 dan menemui satu kajian. Ulasan ini kini merangkumi lapan kajian. Tujuh daripadanya adalah kjian ‘Pertandingan Kelas Bebas Rokok’ (SFC), yang telah digunakan secara meluas di seluruh Eropah. Dalam pertandingan ini, kelas (biasanya berumur antara 11 hingga 14 tahun) berjanji untuk bebas rokok selama enam bulan. Mereka memberikan laporan berkala tentang status merokok mereka, dan jika 90% atau lebih daripada kelas adalah bukan perokok pada penghujung enam bulan, kelas tersebut akan menyertai pertandingan untuk memenangi ganjaran. Dalam satu kajian yang tidak menilai SFC, kelas dengan peratusan terendah pelajar yang merokok pada akhir tahun persekolahan telah diberikan ganjaran.

Keputusan utama

Kami menilai keputusan daripada tujuh kajian SFC dan menemui bahawa pertandingan tersebut tidak mempunyai kesan signifikan terhadap sama ada golongan muda mula merokok atau tidak. Oleh kerana hanya terdapat satu kajian yang bukan SFC, kami menyimpulkan bahawa kami tidak mempunyai maklumat yang cukup untuk menilai sama ada program ini adalah berkesan dalam mencegah golongan muda daripada mula merokok. Kesan negatif yang berkemungkinan daripada SFC belum dikaji secara meluas, tetapi data yang ada mencadangkan bahawa program SFC tidak memberikan sebarang kesan negatif yang signifikan.

Kualiti bukti

Kami berpendapat yang kualiti keseluruhan bukti adalah rendah atau sangat rendah, kerana ia berdasarkan bilangan kajian yang kecil, dengan kesan yang tidak tepat dan dengan risiko bias yang tinggi atau tidak pasti.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information