Soalan ulasan
Kami menyemak manfaat klinikal dan kemudaratan terapi antikoagulan dan antifibrinolitik untuk merawat pembekuan intravaskular tersebar (DIC) pada pesakit dengan leukemia akut atau kronik .
Latar Belakang
DIC ialah komplikasi thrombo-hemorrhagik (melibatkan pembekuan darah atau pendarahan) yang dicirikan oleh pemendapan fibrin (protein berserabut) dalam aliran darah, yang terjadi dalam pelbagai penyakit termasuk leukemia akut dan kronik, terutamanya dikaitkan dengan leukemia promyelositik akut (subjenis leukemia myeloid akut). DIC tidak pernah dianggap sebagai entiti klinikal terpencil dan ia merupakan kecemasan hematologi. Oleh itu, DIC memerlukan rawatan dan penyembuhan penyakit yang menyebabkan berlakunya DIC sebagai tambahan kepada pendekatan yang lain, seperti terapi antibiotik, penggantian produk darah dan terapi cecair, yang dianggap sebagai intervensi 'utama' atau ' rawatan konvensional'. DIC disertai dengan hiperfibrinolisis (peningkatan pembubaran darah beku) dan pengurangan antikoagulan semula jadi (protein-protein bagi kitaran pembekuan). Oleh itu, intervensi farmakologi seperti asid traneksamik (agen antifibrinolitik) dan heparin (antikoagulan) telah digunakan untuk merawat pesakit dengan keadaan yang didapati ini. Walau bagaimanapun, amalan ini tidak dianggap sebagai penjagaan piawai dan terdapat banyak kontroversi mengenai faedah klinikalnya.
Ciri-ciri Kajian
Kami sertakan empat kajian yang mempunyai bilangan pesakit yang terhad (388) dan menilai empat intervensi berbeza: protein C manusia aktifan, trombomodulin manusia larut rekombinan, asid traneksamik dan sulfat dermatan dengan heparin atau plasebo. Dua kajian menyertakan pesakit sama ada dengan atau tanpa leukemia. Dua kajian yang lain hanya menyertakan pesakit dengan leukemia. Kajian-kajian ini diterbitkan antara 1989 dan 2007, dan telah dijalankan di Jepun, Itali dan Belanda. Semua kajian mempunyai risiko bias yang tinggi.
Hasil-hasil utama
Tiada kematian telah dilaporkan dalam kajian yang membandingkan dermatan sulfat dengan heparin. Dua kajian kecil yang menyertakan pesakit dengan leukemia sahaja (22 peserta) melaporkan data pendarahan. Keputusan ini tidak dikompilasikan disebabkan oleh ketidak selarasan dalam pengukuran dan pelaporan hasil tersebut. Satu kajian menemui bukti dengan kualiti yang sangat rendah bahawa asid traneksamik apabila dibandingkan dengan plasebo dapat mengurangkan pendarahan pada pesakit leukemia. Sebaliknya, tiada bukti bahawa dermatan sulfat apabila dibandingkan dengan plasebo dapat mengurangkan kejadian baru diatesis hemoragik pada pesakit leukemia. Profil keselamatan tidak dapat disimpulkan. Tiada komplikasi thromboembolik dilaporkan dalam kedua-dua kajian.
Kajian-kajian ini tidak melaporkan jumlah kematian keseluruhan, resolusi kegagalan pernafasan, kegagalan buah pinggang dan kejutan.
Sehubungan itu, faedah klinikal dan kemudaratan protein C manusia aktifan, trombomodulin manusia larut rekombinan, asid traneksamik dan dermatan sulfat tidak diketahui dalam populasi ini.
Kualiti bukti
Keyakinan terhadap keputusan ulasan ini adalah sangat rendah. Kajian-kajian tersebut mempunyai batasan dalam cara mereka direka dan dilaksanakan. Selain itu, bilangan pesakit yang terhad dalam kajian-kajian yang dirangkumkan menyebabkan keputusan yang tidak menentu. Kajian yang lebih baik dan lebih besar akan memberikan lebih banyak maklumat tentang kesan protein C aktifan manusia, trombomodulin manusia larut rekombinan, asid traneksamik dan sulfat dermatan untuk merawat DIC pada pesakit leukemia akut atau kronik .
Ringkasan bahasa mudah ini adalah terkini sehingga 7 Mei 2015.
Tarikh carian: 7 Mei 2015
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Uiversiti Sains Malaysia).