Apa itu ulser kaki diabetes?
Mereka yang menghidap diabetes mellitus (lebih kerap dipanggil sebagai ‘kencing manis’) boleh mendapat luka (ulser) pada kaki dan buku lali mereka. Ulser kaki diabetes ini boleh mengambil masa yang lama untuk sembuh, dan menjejaskan kualiti kehidupan penghidap diabetes. Untuk sesetengah orang, kegagalan ulser ini untuk sembuh akan menyumbang kepada keperluan amputasi kaki pada tahap tertentu. Sebarang rawatan yang menggalakkan ulser kaki diabetes untuk sembuh adalah amat berharga.
Apa itu faktor pertumbuhan?
Faktor pertumbuhan adalah bahan yang terhasil secara semula jadi di dalam badan. Ia menggalakkan pertumbuhan sel-sel yang baharu dan membantu proses penyembuhan luka. Rawatan ulser kaki diabetes menggunakan faktor pertumbuhan boleh menambahbaik penyembuhan ulser.
Tujuan ulasan ini
Ulasan Cochrane ini cuba untuk mengenalpasti faedah dan bahaya merawat ulser kaki diabetes dengan faktor pertumbuhan selain daripada pemberian kaedah rawatan piawai (iaitu pengurangan tekanan, penyingkiran tisu mati dari luka, kawalan jangkitan dan penggunaan pembalut).
Penemuan ulasan ini
Pengarang ulasan telah mencari penulisan perubatan sehingga 3 Mac 2015, dan mengenalpasti 28 kajian perubatan yang berkaitan, dengan sejumlah 2365 peserta. Kajian telah dilaksanakan di sepuluh negara, umumnya dalam tetapan pesakit luar. Semua kajian mempunyai bilangan peserta yang sedikit, yang mungkin berpotensi menjangkakan penilaian faedah yang berlebihan dan kurang menjangkakan bahaya. Separuh daripada kajian ditaja oleh industri farmaseutikal yang menghasilkan faktor pertumbuhan ini.
Kajian-kajian telah menguji 11 jenis faktor pertumbuhan yang berbeza, biasanya dengan meletakkannya pada permukaan ulser. Faktor pertumbuhan tidak menunjukkan kesan terhadap risiko untuk mendapat amputasi satu jari kaki atau lebih jika dibandingkan dengan faktor pertumbuhan yang lain, atau plasebo (ubat palsu yang tidak aktif), atau rawatan piawai sahaja (bukti daripada empat kajian). Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dengan plasebo atau ketiadaan faktor pertumbuhan, faktor pertumbuhan nampaknya menjadikan penyembuhan ulser dengan lebih sempurna (penutupan luka) lebih cenderung untuk berlaku (bukti dari 12 kajian).
Kekurangan kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini
Tiada kajian yang melaporkan sebarang data berkaitan kualiti hidup peserta. Bahaya yang diakibatkan rawatan kurang dilaporkan, jadi profil keselamatan faktor pertumbuhan masih tidak jelas.
Jelaslah, lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk menilai manfaat dan bahaya faktor pertumbuhan dalam rawatan uler kaki diabetes. Kajian-kajian haruslah direka dengan baik, dijalankan oleh penyelidik secara bebas (bukan ditaja oleh industri), dan mempunyai peserta yang ramai. Mereka seharusnya melaporkan hasil yang menarik minat pesakit, seperti: berapa banyak ulser peserta yang sembuh, dan berapa lama proses penyembuhan mengambil masa; sebarang tahap amputasi di kaki; kualiti hidup; hari bebas tanpa ulser selepas rawatan; dan bahaya yang disebabkan oleh rawatan, termasuk sama ada terdapat sebarang potensi risiko kanser.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Fazreena Eleena Binti Tuah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).