Kumpulan kemahiran sosial bagi orang-orang yang berumur 6 hingga 21 tahun dengan gangguan spektrum autisme (ASD)

Kekurangan kemahiran sosial masih merupakan satu aspek yang paling sukar bagi seseorang individu dengan gangguan spektrum autisme, terutamanya bagi mereka yang mempunyai kemahiran kognitif yang sederhana atau lebih daripada sederhana. Satu intervensi yang sering digunakan untuk merawat kekurangan kemahiran sosial ini ialah kumpulan kemahiran sosial. Ulasan ini menghasilkan keputusan dari lima percubaan terkawal rawak tentang kumpulan kemahiran sosial yang mengandungi 196 orang individu dengan gangguan spektrum autisme (berusia 6 hingga 21 tahun). Kami mendapati bahawa individu yang menerima rawatan menunjukkan beberapa tanda-tanda peningkatan kecekapan sosial dan mempunyai persahabatan yang lebih baik berbanding dengan mereka yang tidak menerima rawatan. Peserta-peserta yang menerima rawatan juga menunjukkan tanda-tanda kesepian yang lebih kurang. Kebolehan untuk mengenal pasti pelbagai jenis emosi telah diukur dalam dua kajian dan tiada bukti bahawa ia ditingkatkan dengan mengambil bahagian dalam kumpulan kemahiran sosial. Komunikasi sosial yang berkaitan dengan ungkapan-ungkapan simpulan bahasa hanya dilaporkan dalam satu kajian dan didapati bahawa tiada perbezaan yang ketara antara kumpulan rawatan dan kawalan. Tiada juga bukti tentang kesan baik kumpulan kemahiran sosial terhadap kemurungan ibubapa atau kanak-kanak. Tiada kesan sampingan yang dilaporkan dalam kajian-kajian ini. Batasan ulasan ini termasuk jumlah kajian dan peserta yang kecil, dan terdapat risiko berat sebelah yang tinggi disebabkan ibubapa mengetahui sama ada anak mereka dalam kumpulan intervensi atau tidak. Kajian-kajian menumpukan kebanyakan perhatian terhadap kanak-kanak dengan ASD yang berumur 7 hingga 12 tahun dengan kecerdasan yang purata atau lebih daripada purata, dan kesemuanya dijalankan di Amerika Syarikat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Teh Keng Hwang (Kolej Universiti Insaniah). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Tools
Information
Share/Save