Pencegahan klot darah dalam kalangan pesakit kanser yang tidak dirawat di hospital yang menerima kemoterapi

Latar belakang

Pesakit kanser lebih cenderung untuk membentuk klot darah di dalam vena berbanding mereka yang tanpa kanser (dikenali sebagai tromboembolisme vena). Kemoterapi meningkatkan lagi risiko ini. Namun beberapa faktor khusus untuk kanser, seperti kecenderungan perdarahan di bahagian kanser, atau penurunan relatif bilangan platelet dalam darah (trombositopenia) akibat kemoterapi boleh meningkatkan kemungkinan pesakit kanser mengalami komplikasi perdarahan dengan ubat-ubatan yang diguna untuk mencegah dan merawat klot darah (antikoagulan). Ulasan sistematik ini melihat keberkesanan dan keselamatan antikoagulan apabila diguna untuk mencegah klot darah bagi pesakit kanser yang menerima kemoterapi.

Keputusan utama

Kamoi memasukkan 26 kajian rawak terkawal yang melibatkan sejumlah 12,352 peserta (terkini sehingga Jun 2016). Heparin dengan berat molekul rendah dan heparin semuloparin dengan berat molekul ultra-rendah dikaitkan dengan pengurangan ketara dalam klot darah simptomatik. Kami tidak mendapati bukti risiko pendarahan major meningkat dengan semuloparin atau heparin berat molekul rendah, tetapi berdasarkan ketidakpastian anggaran, kami tidak boleh menolak risiko menjadi dua kali ganda. Tiada manfaat survival yang jelas untuk semuloparin atau heparin berat molekul rendah. Dalam kalangan orang dengan myeloma berbilang, heparin berat molekul rendah dapat mengurangkan insidens klot darah apabila dibandingkan dengan warfarin, antagonis vitamin K, manakala perbezaan dengan aspirin adalah tidak ketara. Tiada pendarahan major dengan heparin berat molekul rendah atau warfarin, dan dalam kalangan peserta yang dirawat dengan aspirin, kadarnya kurang dari 1%. Satu kajian menilai heparin bukan pecahan dan tidak melaporkan tromboembolisme vena atau pendarahan major. Tiada maklumat tentang klot darah di dalam kedua-dua kumpulan kajian. Data warfarin berbanding plasebo adalah terlalu terhad untuk menyokong penggunaan warfarin untuk pencegahan klot darah dalam kalangan pesakit kanser. Satu kajian dalam kalangan kanak-kanak menilai antitrombin, yang tidak mempunyai kesan yang ketara terhadap klot darah atau pendarahan major berbanding tanpa antitrombin. Satu kajian rintis kecil menilai antikoagulan oral apixaban dan mendapati kadar perdarahan dan pembekuan darah yang rendah berbanding plasebo.

Kualiti bukti

Julat kualiti kajian-kajian yang dimasukkan adalah antara rendah hingga tinggi, dan kajian masa depan mungkin mengubah keyakinan kami tentang anggaran dan saiz anggaran, khususnya mengenai keselamatan antikoagulan. Julat kualiti penemuan adalah di antara tinggi hinggalah sangat rendah bagi pelbagai hasil dan perbandingan. Faktor pembatasan utama, yang menjadi sebab penurunan kualiti dalam beberapa hasil, adalah ketidaktepatan dan risiko bias. Bilangan kajian yang agak rendah, peserta, dan peristiwa klinikal menghalang kami menentukan potensi pengaruh umur dan jenis atau tahap kanser terhadap kesan rawatan dan memberi kesimpulan yang lebih pasti tentang risiko perdarahan berkaitan dengan antikoagulan. Tiada kajian yang menguji mampatan pneumatik berjeda atau stoking elastik bersenggat untuk pencegahan tromboembolisme vena.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save