Pencegahan klot darah dalam kalangan pesakit kanser yang tidak dirawat di hospital yang menerima kemoterapi

Latar belakang

Pesakit kanser lebih cenderung untuk membentuk tromboembolisme vena (klot darah di dalam vena) berbanding mereka yang tanpa kanser. Kemoterapi boleh mengaktifkan koagulasi darah (pembekuan) dan meningkatkan risiko ini. Antikoagulan adalah ubat-ubatan yang diguna untuk mencegah dan merawat klot darah. Ia kadang-kadang dikenali sebagai pencair darah. Ulasan sistematik ini bertujuan melihat keberkesanan dan keselamatan intervensi antikoagulan dan mekanikal apabila diguna untuk mencegah klot darah dalam kalangan pesakit kanser yang menerima kemoterapi.

Keputusan utama

Kami memasukkan 32 kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan 15,678 peserta (carian semasa hingga Ogos 2020). Semua kajian menilai antikoagulan dan dilakukan terutamanya dalam kalangan orang dengan kanser setempat (tidak mungkin sembuh) atau kanser metastatik (di mana kanser telah merebak dari bahagian di mana ia bermula). Antikoagulan oral secara langsung (antikoagulan yang bertindak secara langsung dengan mengikat dan merencat faktor koagulasi spesifik - trombin atau faktor X teraktif) dapat mengurangkan kejadian klot darah dan meningkatkan risiko perdarahan major dalam kalangan orang dengan kanser. Heparin berat molekul rendah (antikoagulan yang meningkatkan aktiviti antitrombin antikoagulan semula jadi) dikaitkan dengan pengurangan klot darah simptomatik, tetapi meningkatkan risiko perdarahan major. Dalam kalangan orang dengan kanser yang berkaitan dengan darah, myeloma berbilang, heparin berat molekul rendah mengurangkan bilangan klot darah simptomatik berbanding antagonis vitamin K warfarin, sementara perbezaan dengan aspirin adalah tidak jelas; tiada perdarahan major dengan heparin atau warfarin berat molekul rendah, dan dalam kalangan peserta yang dirawat dengan aspirin kadar perdarahan adalah di bawah 1%. Satu kajian menilai heparin bukan pecahan dan tidak melaporkan klot darah atau perdarahan major. Data perbandingan warfarin dengan plasebo (rawatan palsu) adalah terlalu terhad untuk menyokong penggunaan warfarin bagi pencegahan klot darah simptomatik dalam kalangan pesakit kanser. Satu kajian dalam kalangan kanak-kanak menilai antitrombin, yang tiada kesan ketara terhadap sebarang jenis klot darah atau perdarahan major berbanding tanpa antitrombin.

Kualiti bukti

Kualiti metodologi kajian-kajian yang disertakan adalah dari rendah hingga tinggi, yang mana kajian masa depan mungkin mengubah keyakinan keputusan kami, khususnya yang berkaitan dengan keselamatan antikoagulan. Kebolehpercayaan penemuan-penemuan adalah antara tinggi hingga sangat rendah merentasi pelbagai hasil dan perbandingan. Faktor pembatas utama yang menjadi sebab penurunan kebolehpercayaan dalam sesetengah hasil adalah ketidaktepatan dan risiko bias. Bilangan kajian, peserta, dan peristiwa klinikal yang agak rendah menghalang kami membuat kesimpulan pasti tentang risiko perdarahan berkaitan dengan antikoagulan. Tiada kajian yang menguji pemampatan pneumatik berselang (alat mekanikal menggunakan pam udara dan sarung betis boleh kembung untuk memberi tekanan berdenyut yang menolak darah dalam vena) atau stoking elastik bersenggat (stoking khas yang meningkatkan aliran darah di vena kaki dan mencegah pengumpulan darah di kaki) untuk pencegahan tromboembolisme vena.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save