Rawatan bukan ubat untuk kekejangan betis dan kaki

Apakah tujuan ulasan ini?

Orang biasannya mengalami kekejangan otot pada waktu malam ketika cuba untuk tidur, semasa bersenam, semasa kehamilan, dan semasa hemodialisis (penapisan darah untuk orang yang mengalami masalah ginjal yang teruk). Kekejangan juga boleh berlaku pada masa-masa lain, dan boleh menjadi sangat kerap dan teruk pada kanak-kanak dan orang dewasa dengan penyakit saraf (contohnya, penyakit Charcot-Marie-Tooth).

Terdapat banyak rawatan yang ada untuk kekejangan betis dan kaki. Sebilangan besar belum diuji dalam kajian klinikal yang direkabentuk dengan baik. Penggunaan intervensi yang belum diuji tidak sesuai kerana orang mungkin membazirkan masa atau wang mereka, dan mungkin mendedahkan diri mereka kepada risiko bahaya. Dalam Ulasan Cochrane ini, pengulas mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk mengetahui ada atau tidak intervensi bukan ubat yang bermanfaat untuk kekejangan betis dan kaki.

Mesej utama

Terdapat sedikit bukti dari ujian rawak untuk membantu orang membuat keputusan mengenai rawatan bukan ubat untuk kekejangan betis atau kaki. Pengulas tidak pasti apakah ada terapi bukan ubat yang sememangnya membantu, kerana tidak ada kajian yang cukup untuk membuat keputusan, dan kekejangan pada umumnya tidak dapat diukur dengan baik. Tidak ada kajian yang menguji terapi bukan ubat pada orang di bawah usia 50 tahun, atau dengan penyakit saraf. Bukti terkini memberikan sokongan bahawa menggabungkan peregangan betis dan hamstring setiap hari dapat mengurangkan keterukan kekejangan otot anggota badan pada waktu malam terhadap orang yang berumur 55 tahun dan ke atas tetapi kesan pada kekerapan kekejangan tidak jelas; kepastian bukti sangat rendah.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Pengulas berminat dengan kajian yang membandingkan sesama mereka antara peregangan, senaman, urutan, relaksasi, penghindaran keletihan, kawalan suhu pada waktu malam, perubahan posisi tidur dan duduk, dan splin yang dipakai ketika tidur, dan membandingkan dengan tanpa rawatan, atau dengan rawatan plasebo atau palsu (berpura-pura). Pengulas mengecualikan kajian yang memeriksa kekejangan pada kehamilan (kerana mereka diliputi dalam Ulasan Cochrane lain), atau rawatan invasif (seperti pembedahan atau akupunktur).

Pengulas tertanya-tanya jika terapi dapat mengurangkan kekerapan kekejangan berlaku, intensiti kesakitan, jangkamasa setiap kekejangan berlangsung, bilangan orang mengalami kekejangan, sebaik mana orang boleh tidur, atau dapat menyertai aktiviti harian, dan jika ada kesan berbahaya.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Tiga kajian (201 peserta) memberikan bukti kepastian rendah atau sangat rendah mengenai keberkesanan peregangan untuk mengurangkan kekejangan betis bawah pada orang berusia 50 tahun dan lke atas. Satu kajian mendapat dana kerajaan; dua yang lain tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Gabungan peregangan betis dan hamstring setiap hari (berbanding tanpa intervensi) dapat mengurangkan keterukan kekejangan otot anggota badan pada waktu malam pada orang yang berumur lebih daripada 55 tahun (1 RCT, 80 orang).

Peregangan betis secara bersendirian (dibandingkan dengan peregangan palsu) boleh menyebabkan perbezaan sedikit atau tidak untuk kekerapan mengalami kekejangan pada waktu malam pada mana-mana otot anggota bawah dalam kalangan orang berusia 60 tahun dan ke atas, walaupun batasan dalam reka bentuk kajian menjadikannya sukar untuk melihat hasilnya berkaitan dengan amalan klinikal (1 RCT, 97 orang).

Bukti tidak pasti sama ada gabungan peregangan betis harian, kuadriseps, dan peregangan hamstring (berbanding tanpa intervensi) mengurangkan kekerapan dan keterukan kekejangan betis pada wanita berusia 50 hingga 60 tahun dengan sindrom metabolik (sekumpulan keadaan kesihatan yang menyebabkan peningkatan risiko penyakit jantung dan masalah yang berkaitan), kerana peniruan serius dalam reka bentuk kajian membatasi keyakinan pengulas terhadap hasilnya (1 RCT, 24 wanita).

Tidak ada orang dalam kajian yang melaporkan kesan sampingan dengan rawatan, tetapi pengulas hanya dapat yakin secara sederhana terhadap penemuan ini kerana saiz kajian yang kecil.

Tidak ada kajian yang melaporkan kesan rawatan terhadap kualiti tidur, kualiti hidup, atau penyertaan dalam aktiviti kehidupan seharian. Tidak ada kajian yang menguji rawatan bukan ubat kepada orang dengan penyakit saraf, semasa bersenam, atau kekejangan pada waktu malam pada orang dewasa yang lebih muda.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Pengulas telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Mei 2020.

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Ahmad FIlza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information