Pengambilan zink secara oral untuk mencegah hiperbilirubinemia (jaundis) pada neonat (bayi baru lahir)

Persoalannya

Adakah pengambilan garam zink sebagai oral suplemen, berbanding dengan plasebo (bahan yang tidak aktif) ataupun tiada rawatan diberikan dapat mengurangkan kejadian hiperbilirubinemia (jaundis) pada bayi yang berusia kurang daripada seminggu?

Latarbelakang

Jaundis, atau kekuningan kulit,berlaku disebabkan oleh peningkatan jumlah pigmen bilirubin didalam darah. Ia adalah satu keadaan yang lazim berlaku dalam minggu pertama selepas kelahiran dan biasanya tidak berbahaya kepada bayi. Bagaimanapun, terdapat keadaan dimana, jumlah pigmen bilirubin ini meningkat kepada tahap berbahaya yang menyebabkan rawatan diperlukan. Proses metabolisma bilirubin ini berlaku di dalam hati/hepar dan kemudian disalurkan ke usus dan dikeluarkan didalam najis. Peningkatan penyerapan semula bilirubin dari usus merupakan salah satu faktor utama yang mengakibatkan hiperbilirubinemia pada bayi baru lahir. Pengambilan garam zink secara oral, boleh mengurangkan tahap bilirubin pada bayi yang baru lahir dengan mengurangkan penyerapan semula dari usus. Garam zink ini selamat digunakan sebagai ubat.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik dari Cochrane telah mencari kesemua kajian sehingga 30 November 2014. Hanya terdapat satu kajian yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Keputusan

Dalam kajian ini, keberkesanan garam zink oral telah dibandingkan dengan plasebo. Plasebo adalah bahan kajian yang tidak berbahaya tetapi dan tidak mengandungi bahan aktif yang boleh merawat keadaan yang dikaji. Seramai 294 bayi telah direkrut ke dalam kajian ini. Didalam kajian ini, garam zink oral diberikan dalam dos 5 mg dua kali sehari kepada bayi yang berusia diantara 25 hingga 168 jam. Keputusannya, pengambilan garam zink oral ini tidak mempengaruhi kejadian jaundis (hiperbilirubinemia) pada bayi-bayi ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save