Rasa manis untuk mengurangkan kesakitan semasa suntikan jarum dalam kanak-kanak berumur satu hingga 16 tahun

Ini merupakan versi kemaskini ulasan Cochrane asal yang telah diterbitkan dalam isu 10, 2011: Cecair manis untuk mengurangkan kesakitan dalam kanak-kanak berumur satu hingga 16 tahun akibat prosedur yang melibatkan jarum. Kami telah menjalankan pencarian semula pada Oktober 2014.

Soalan ulasan: Adakah cecair manis boleh mengurangkan kesakitan semasa suntikan jarum dalam kanak-kanak berumur satu hingga 16 tahun berbanding dengan tiada rawatan, air, cecair tidak manis lain, atau intervensi lain seperti hisapan tanpa khasiat (bayi) atau makanan manis atau gula-gula getah (kanak-kanak), ubat bius topikal, muzik, dan pengalihan perhatian?

Latar belakang: Pemberian air gula manis dalam kuantiti kecil kepada bayi sebelum dan semasa suntikan jarum boleh mengurangkan kesakitan dan distres secara ketara. Akan tetapi, sama ada kesan pengurangan kesakitan yang sama boleh diperhatikan dalam kanak-kanak berumur lebih dari satu tahun masih belum diketahui. Oleh itu, kami telah menilai kajian-kajian yang memeriksa kesan pengurangan kesakitan cecair manis seperti sukrosa atau glukosa dalam prosedur suntikan jarum yang sakit dalam kanak-kanak berumur satu hingga 16 tahun.

Tarikh carian: Kami telah menjalankan pencarian daripada rujukan kajian-kajian yang diterbitkan dan tidak diterbitkan sehingga Oktober 2014.

Ciri-ciri kajian: Terdapat enam kajian yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun; dua daripada kajian ini telah menyumbang kepada ulasan asal manakala empat lagi merupakan kajian baru.Dua kajian yang telah dimasukkan dalam ulasan asal menggunakan sukrosa dalam kepekatan yang rendah (12%) yang tidak dianggap cukup manis untuk mengurangkan kesakitan. Antara empat kajian baru itu pula, tiga merupakan kajian perintis kecil yang dijalankan untuk memaklumkan kajian penuh. Hanya satu kajian sahaja yang melibatkan bilangan kanak-kanak yang besar. Apabila kami membandingkan keputusan daripada keenam-enam kajian ini, hanya dua menunjukkan bahawa air gula (sukrosa) dapat mengurangkan kesakitan semasa suntikan. Akan tetapi, keempat-empat kajian yang menunjukkan tiada kesan itu cuma melibatkan bilangan kanak-kanak yang kecil. Oleh itu, kajian-kajian ini dianggap terlalu kecil untuk mengesan apa-apa perbezaan yang ketara dalam kesakitan. Kajian-kajian berkualiti selanjutnya yang melibatkan bilangan kanak-kanak yang besar diperlukan untuk memutuskan sama ada rasa manis boleh mengurangkan kesakitan dan distres secara berkesan semasa suntikan jarum.

Bagi kanak-kanak umur persekolahan, terdapat dua kajian yang diterbitkan oleh penyelidik yang sama, dan kedua-duanya telah dimasukkan ke dalam ulasan asal. Kedua-dua kajian ini tidak menunjukkan rasa manis dapat membantu mengurangkan kesakitan. Oleh kerana kajian lain menunjukkan strategi seperti pengalihan perhatian dan ubat bius topikal boleh mengurangkan kesakitan suntikan jarum secara berkesan dalam kanak-kanak umur persekolahan, kajian seterusnya dengan menggunakan rasa manis untuk pengurusan kesakitan dalam kumpulan kanak-kanak ini adalah tidak wajar. 

Sumber pembiayaan kajian:

Daripada enam kajian yang melibatkan kanak-kanak kecil, dua tidak mengakui penerimaan pembiayaan penyelidikan. Untuk baki empat kajian: dua daripada kajian rintis disokong oleh dana kejururawatan negeri, satu kajian rintis lagi disokong oleh sebuah institut penyelidikan dalaman dan satu kajian lagi disokong sebahagiannya oleh geran Kesihatan Ibu dan Kanak-kanak.

Dua kajian dalam kanak-kanak umur persekolahan yang dijalankan oleh penyelidik yang sama telah disokong oleh geran daripada Institut Penyelidikan Kesihatan Kanada.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ch'ng Chin Chin (Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Pulau Pinang). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi chngchinchin@gmail.com.

Tools
Information