Intervensi untuk kecacatan medan penglihatan bagi orang yang mengalami strok

Soalan ulasan

Adakah terdapat rawatan-rawatan yang berkesan untuk orang yang mengalami kecacatan medan penglihatan selepas strok?

Latar belakang

Strok boleh menyebabkan sebilangan orang (20% hingga 57% orang yang mengalami strok) hilang keupayaan untuk melihat seluruh ruang di hadapan mereka - selalunya keseluruhan dari separuh medan penglihatan normal hilang. Masalah penglihatan ini disebut sebagai kecacatan medan penglihatan. Kecacatan medan penglihatan dapat menyulitkan orang untuk berfungsi secara normal - terutamanya bergerak secara bebas, menghindari halangan, membaca, memandu, dan mengambil bahagian dalam pemulihan untuk masalah lain yang berkaitan dengan strok.

Kami ingin melihat sama ada rawatan untuk kecacatan medan penglihatan dapat meningkatkan kemampuan mangsa strok dalam aktiviti kehidupan seharian (hasil matlamat utama kami), atau hasil-hasil lain (sekunder). Hasil sekunder yang kami ingin tahu termasuklah ukuran kecacatan medan penglihatan, kebebasan (dalam kemampuan berfungsi), kualiti hidup, kemampuan untuk mengimbas/mencari objek, kemampuan membaca, keseimbangan dan jatuh, kemurungan dan kegelisahan, dan kesan buruk.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 20 kajian (melibatkan 547 peserta strok) yang menyelidik kesan rawatan untuk kecacatan medan penglihatan. Namun, hanya 10 daripada kajian-kajian ini yang membandingkan kesan rawatan tertentu dengsn tanpa rawatan. Tiga dari kajian-kajian ini menyelidik sejenis latihan pergerakan mata yang dirancang untuk memperbaiki medan penglihatan yang hilang (intervensi 'pemulihan'). Empat daripada kajian yang disertakan menyelidik kesan latihan imbasan, yang melatih orang untuk 'mengimbas' seluruh ruang di hadapan mereka dan memasuki medan penglihatan yang 'hilang', bagi mengatasi penglihatan mereka yang hilang dengan lebih baik (intervensi 'mengimbang’). Tiga dari kajian yang disertakan menyelidik kesan memakai prisma khas pada sepasang cermin mata, yang meningkatkan jumlah yang dapat dilihat oleh seseorang pada bahagian yang terjejas (intervensi 'penggantian'). Salah satu dari kajian tersebut meneliti kesan penilaian khusus oleh pakar ortoptis (pakar penglihatan yang berpusat di hospital), berbanding dengan rawatan piawai.

Tarikh carian

Kami mencari kajian-kajian sehingga Mei 2018.

Keputusan utama

Hanya dua kajian yang menunjukkan data yang berkaitan dengan bagaimana rawatan dapat meningkatkan kemampuan mangsa strok dalam aktiviti kehidupan seharian, dan terdapat kekurangan konsistensi antara kajian-kajian yang membatasi kemampuan kami untuk membuat kesimpulan yang jelas. Tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan intervensi pemulihan berbanding dengan kawalan. Terdapat bukti berkualiti rendah atau sangat rendah bahawa latihan mengimbas dapat membantu meningkatkan kualiti hidup, tetapi mungkin tiada kesan terhadap hasil lain (termasuk kesan buruk). Terdapat bukti berkualiti rendah atau sangat rendah bahawa prisma mungkin mempunyai kesan terhadap kemampuan untuk mengimbas (mencari) objek, tetapi mungkin menyebabkan pelbagai kesan buruk yang kecil (terutama sakit kepala) dan mungkin tiada kesan terhadap hasil-hasil lain. Keterbatasan bukti bermakna kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan mengenai faedah-faedah intervensi penilaian.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah hingga sangat rendah, dan secara umumnya adalah tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai kesan intervensi bagi orang dengan kecacatan medan penglihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information