Intervensi psikologi dan farmakologi untuk kemurungan dalam kalangan pesakit diabetes melitus

Kemurungan berlaku hampir satu setengah kali lebih kerap dalam kalangan pesakit diabetes berbanding dengan pesakit bukandiabetes dan dikaitkan dengan prognosis yang buruk. Ulasan ini mengkaji kajian klinikal rawatan psikologi dan ubat antidepresan dalam kalangan pesakit diabetes dengan kemurungan. Objektifnya adalah untuk menentukan kesan rawatan-rawatan terhadap kemurungan, gula darah, pematuhan rejimen rawatan diabetes, komplikasi diabetes, kematian dari sebarang punca, kos penjagaan kesihatan dan kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan. Sembilan belas kajian dengan 1592 peserta dikenal pasti sebagai relevan untuk ulasan. Lapan kajian dengan 1122 peserta menyiasat rawatan psikologi berbanding penjagaan biasa (tempoh terapi tiga minggu hingga 12 bulan, tempoh susulan selepas rawatan dari sifar hingga enam bulan). Lapan kajian dengan 377 peserta menyiasat ubat antidepresan berbanding plasebo (tempoh intervensi tiga minggu hingga enam bulan, tiada tempoh susulan selepas rawatan). Tiga kajian dengan 93 peserta membandingkan kesan dua ubat antidepresan yang berbeza (tempoh intervensi 12 minggu, tiada tempoh susulan selepas rawatan). Secara ringkas, rawatan psikologi dan ubat antidepresan mempunyai kesan yang sederhana, namun positif terhadap kesan kemurungan dalam kalangan pesakit diabetes. Ubat antidepresan mempunyai kesan positif terhadap glukosa darah, sedangkan kesan glukosa darah tidak konklusif untuk rawatan psikologi. Kualiti hidup pesakit tidak bermanfaat daripada rawatan psikologi atau ubat antidepresan. Kos penjagaan kesihatan, kematian dari sebarang punca dan komplikasi diabetes tidak diperiksa dengan secukupnya. Kesan buruk serius atau teruk adalah jarang (rawatan farmakologi) atau tidak dilaporkan (rawatan psikologi). Keseluruhannya, bukti adalah kurang dan tidak konklusif kerana beberapa kajian berkualiti rendah dan ciri kepelbagaiannya yang besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save