Adakah gabungan ubat berhenti merokok dan sokongan tingkah laku dapat membantu perokok untuk berhenti?

Latar belakang

Sokongan tingkah laku (seperti nasihat ringkas dan kaunseling) dan ubat-ubatan (termasuk varenicline, bupropion dan terapi penggantian nikotin seperti tampalan atau gula-gula getah) membantu orang berhenti merokok. Pelbagai garis panduan mengesyorkan gabungan ubat dan sokongan tingkah laku untuk membantu orang berhenti merokok, tetapi adalah tidak jelas jika sesetengah kombinasi adalah lebih berkesan daripada yang lain, atau jika kombinasi ubat-ubatan dan sokongan tingkah laku lebih baik di sesetengah persekitaran atau kumpulan berbanding yang lain.

Ciri-ciri Kajian

Pada Julai 2015 kami mencari kajian-kajian yang menguji kombinasi sokongan tingkah laku dan ubat-ubatan untuk membantu perokok berhenti berbanding penjagaan biasa atau sokongan tingkahlaku yang ringkas. Orang-orang yang merokok direkrut terutamanya dalam persekitaran penjagaan kesihatan. Sesetengah ujian hanya mendaftarkan orang-orang yang berhasrat untuk cuba berhenti pada masa tersebut, tetapi sesetengah kajian melibatkan orang-orang yang tidak bercadang untuk berhenti. Kajian-kalian telah melaporkan berapa ramai orang telah berhenti merokok selepas sekurang-kurangnya enam bulan.

Keputusan-keputusan

Kami mendapati 53 kajian dengan sejumlah 25,000 peserta. Satu kajian yang sangat besar mendapati manfaat besar. Ia telah memberi sokongan yang intensif termasuk gula-gula getah nikotin, sesi kumpulan berbilang, dan hubungan panjang jangkauntuk membantu orang-orang terus berhenti atau menggalakkan cubaan berhenti tambahan. Oleh kerana ia bukan program rawatan yang biasa, ia tidak dimasukkan apabila kami menganggarkan manfaat yang mungkin, walaupun ia menunjukkan sokongan intensif boleh menjadi amat berkesan. Berdasarkan 52 kajian selebihnya, kami mendapati bukti berkualiti tinggi bahawa menggunakan kombinasi sokongan tingkah laku dan ubat-ubatan meningkatkan peluang untuk berjaya berhenti selepas sekurang-kurangnya enam bulan. Menggabungkan keputusan-keputusan mencadangkan bahawa peluang kejayaan meningkat 70 hingga 100 peratus berbanding hanya nasihat ringkas atau sokongan. Terdapat beberapa bukti bahawa kesannya adalah lebih besar apabila para peserta direkrut di persekitaran penjagaan kesihatan. Tiada bukti jelas bahawa menyediakan lebih banyak hubungan meningkatkan jumlah orang berhenti merokok pada enam bulan atau lebih lama. .

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information