Pengurusan pembedahan untuk sakit pelvis kronik pada wanita

Mengapa kami lakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang rawatan pembedahan yang berkesan dan selamat untuk wanita dengan sakit pelvis kronik Kami ingin memahami sejauh mana keberkesanan rawatan pembedahan membanding dengan rawatan alternatif atau tanpa rawatan langsung.

Latar belakang

Sakit pelvis kronik pada wanita adalah keadaan biasa dan melemahkan. Takrifan berbeza-beza, tetapi secara umumnya ia ditakrifkan sebagai sakit pelvis untuk tempoh enam bulan atau lebih. Terdapat banyak punca sakit pelvis kronik, tetapi kadangkala sukar untuk dikenal pasti. Tanpa mengetahui apa-apa atau punca khusus, rawatan bertujuan untuk mengurangkan gejala. Kadangkala, pembedahan diagnostik dengan memasukkan laparoskop dilakukan (memasukkan teleskop ke dalam perut untuk menggambarkan struktur pelvis). Apabila terdapat punca sakit pelvis kronik yang boleh dikenal pasti, seperti endometriosis (tisu serupa dengan lapisan rahim yang tumbuh di tempat lain) atau adenomyosis (tisu serupa dengan lapisan rahim ditemui jauh di dalam otot rahim), ia mungkin memerlukan strategi rawatan berbeza berbanding apabila tiada masalah yang jelas. Apabila tiada penyakit dikenal pasti pada masa pembedahan diagnostik walaupun sakit pelvis kronik, kami mungkin mempertimbangkan pelbagai prosedur pembedahan untuk merawat sakit pelvis kronik, termasuk membuang tisu parut yang berpunca daripada jangkitan atau pembedahan sebelumnya (dipanggil adhesiolisis), atau kauterisasi (rawatan panas) atau eksais (mengeluarkan) saraf yang membawa rasa sakit dari pelvis ke otak (dipanggil ablasi/reseksi ligamen uterosacral). Walaupun tidak jelas sejauh mana keberkesanan rawatan pembedahan ini, ia ditawarkan dan dilakukan.

Apa yang kami temui

Kami menjumpai empat kajian rawak terkawal (sejenis kajian yang memberikan bukti paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan) melibatkan 216 wanita dengan sakit pelvis kronik dan tiada punca yang dapat dikenal pasti. Ukuran hasil utama adalah skor kesakitan selepas pembedahan dan kualiti hidup. Bukti terkini sehingga 23 April 2021.

Hasil utama

Adhesiolisis berbanding tanpa pembedahan/laparoskopi diagnostik

Kami tidak pasti tentang keberkesanan adhesiolisis berbanding dengan laparoskopi diagnostik terhadap skor kesakitan pada tiga, enam dan 12 bulan selepas pembedahan. Kesakitan diukur menggunakan skor analog visual (VAS), iaitu skala penarafan yang digunakan secara meluas di mana orang itu menilai kesakitan daripada 0 (tiada sakit) hingga 100 (sakit paling teruk). Adhesiolisis mungkin boleh meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan pada enam bulan selepas pembedahan apabila dibandingkan dengan laparoskopi diagnostik.

Laparoskopi ablasi uterosacral ligamen berbanding rawatan lain

Kami tidak pasti tentang kesan laparoskopi ablasi uterosacral ligamen (laparoscopic uterosacral ligament ablation, LUNA) berbanding laparoskopi diagnostik atau reseksi uterosacral ligamen rahim, terhadap skor kesakitan yang diukur oleh VAS pada tiga, enam dan 12 bulan. Wanita yang menjalani LUNA mungkin memerlukan lebih banyak kelegahan kesakitan selepas pembedahan berbanding mereka yang menjalani rawatan alternatif.

Tiada kajian dalam kedua-dua perbandingan melaporkan hasil psikologi.

Kepastian bukti

Kepastian tentang bukti berkisar dari sangat rendah hingga rendah. Batasan termasuk pelaporan kaedah kajian yang lemah dan ketidaktepatan (kekurangan insiden, terlalu sedikit kajian yang disertakan) untuk setengah perbandingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information