Merangsang otak tanpa pembedahan dalam pengurusan sakit kronik dalam kalangan orang dewasa

Kesimpulannya

Terdapat kekurangan bukti berkualiti tinggi untuk menyokong atau menafikan keberkesanan teknik rangsangan otak tidak invasif untuk sakit kronik.

Latar belakang

Rangsangan elektrik otak telah digunakan untuk menangani pelbagai keadaan yang menyakitkan. Terdapat pelbagai peranti yang boleh merangsang otak secara elektrik tanpa memerlukan pembedahan atau rawatan invasif. Terdapat lima jenis rawatan utama: rangsangan magnetik transkranial berulang (rTMS) di mana otak dirangsang oleh gegelung yang diaplikasi pada kulit kepala, rangsangan elektroterapi kranial (CES) di mana elektrod diletakkan ke telinga atau diaplikasi pada kulit kepala, rangsangan transkranial arus terus (tDCS), elektrostimulasi kortikal terkurang impedans yang tidak invasif (RINCE) dan rangsangan bunyi transkranial rawak (tRNS) di mana elektrod diaplikasi pada kulit kepala. Rawatan tersebut telah digunakan untuk mengurangkan sakit dengan matlamat mengubah aktiviti otak. Keberkesanannya adalah tidak pasti.

Ciri-ciri kajian

Kemas kini ulasan ini termasuk 94 kajian rawak terkawal: 42 rTMS, 11 CES, 36 tDCS, dua RINCE, dua tRNS dan satu kajian yang menilai kedua-dua tDCS dan rTMS.

Keputusan utama

rTMS yang diaplikasi kepada korteks motor boleh membawa kepada pengurangan kecil jangka pendek sakit tetapi kesannya tidak mungkin penting secara klinikal. tDCS boleh mengurangkan sakit berbanding dengan sham tetapi untuk rTMS dan tDCS anggaran manfaat kami mungkin diperbesar-besarkan oleh bilangan peserta yang kecil dalam setiap kajian dan batasan dalam cara kajian dijalankan. Bukti kualiti rendah atau sangat rendah menunjukkan frekuensi rendah rTMS dan rTMS yang diaplikasi pada kawasan prefrontal otak tidak berkesan. Bukti berkualiti rendah tidak menunjukkan CES adalah rawatan yang berkesan untuk sakit kronik. Untuk semua bentuk rangsangan, bukti adalah tidak konklusif dan terdapat ketidakpastian besar mengenai kemungkinan manfaat dan bahaya rawatan. Antara kajian yang melaporkan dengan jelas kesan sampingan, kesan sampingan yang singkat dan kecil seperti sakit kepala, loya dan kerengsaan kulit biasanya dilaporkan dengan rangsangan sebenar dan palsu. Dua kes sawan dilaporkan berikutan rTMS sebenar. Kesimpulan kami untuk rTMS, CES, tDCS, dan RINCE tidak berubah dengan ketara dalam kemas kini ini.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Bukti yang berkualiti sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang hasilnya. Bukti yang berkualiti tinggi bermakna kami sangat yakin dengan hasilnya. Kami menganggap semua bukti mempunyai kualiti rendah atau sangat rendah, terutamanya kerana bias dalam kajian-kajian tersebut yang boleh membawa kepada hasil yang tidak boleh dipercayai dan saiz kecil kajian, yang menjadikannya tidak tepat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save