Intervensi di tempat kerja untuk sakit leher dalam kalangan pekerja

Kajian telah menunjukkan bahawa gangguan otot-rangka adalah punca cuti sakit dan ketidakupayaan yang paling kerap di negara-negara perindustrian. Sakit leher adalah lebih kerap dalam masyarakat umum berbanding apa yang diketahui sebelum ini. Kajian Cochrane ini membentangkan maklumat yang diketahui dari kajian intervensi di tempat kerja bagi pekerja yang mengalami sakit leher yang sebahagian besarnya, tidak disenaraikan sebagai sakit.

Sepuluh kajian melibatkan 2745 peserta telah dimasukkan ke dalam ulasan ini. Dua kajian dinilai sebagai berisiko bias rendah. Intervensi di tempat kerja terdiri daripada pendidikan mengenai pengurusan tekanan, prinsip-prinsip ergonomik, anatomi, gangguan otot-rangka dan kepentingan aktiviti fizikal. Mereka diajar tentang "pause gymnastics", bagaimana untuk menggunakan postur bekerja yang betul, posisi yang sesuai, kepentingan rehat seketika dan strategi-strategi untuk memperbaiki relaksasi. Beberapa kajian juga memasukkan cara untuk mengubahsuai tugas, beban kerja, teknik-teknik bekerja, posisi kerja dan waktu bekerja. Beberapa kajian mencadangkan bagaimana membuat penyelarasan dan syor alternatif kepada susunatur perabot dan peralatan sedia ada di tempat kerja.

Ulasan ini mendapati bukti berkualiti rendah bahawa orang-orang yang menerima intervensi di tempat kerja tidak mendapat kelegaan sakit lebih banyak daripada orang-orang yang tidak menerima intervensi. Kami mendapati bukti berkualiti sederhana (1 kajian, 415 pekerja) bahawa intervensi di tempat kerja mengurangkan cuti sakit dalam kalangan pekerja dalam tempoh enam bulan, tetapi tidak pada temujanji susulan pada bulan ketiga dan 12. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa peserta dalam kajian ini telah pun dimasukkan dalam senarai sakit. Penyelidikan lanjutan mungkin ada impak dalam keyakinan kami menbuat anggaran kesan intervensi dan mungkin mengubah anggaran untuk kedua-dua sakit dan cuti sakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Perubatan Melaka-Manipal.

Tools
Information