Kedudukan meniarap (muka ke bawah) ketika menggunakan alat mekanikal pernafasan untuk orang dewasa dengan kegagalan pernafasan akut

Ulasan soalan

Ulasan ini berusaha untuk menyiasat sama ada pengudaraan kedudukan meniarap boleh memperbaiki hasil penting seperti mengurangkan kadar kematian (mortaliti) dalam kalangan individu-individu yang memerlukan bantuan pernafasan mekanikal dalam penjagaan rapi. Kami juga mahu mengenal pasti kelemahan dan komplikasi berkaitan kedudukan meniarap, dan juga manfaat jangka panjangnya.

Latar belakang

Pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan yang diberikan dengan ventilator (alat pernafasan mekanikal) kerana kerosakan paru-paru yang disebabkan oleh penyakit mempunyai risiko yang tinggi untuk meninggal dunia. Paru-paru yang terjejas dengan keadaan-keadaan seperti jangkitan paru-paru akan mempunyai bahagian yang normal dan tidak normal atau bahagian yang berpenyakit. Pemulihan bahagian yang berpenyakit mengambil masa, dan mereka mungkin memerlukan sokongan pernafasan dalam tempoh ini. Sokongan pengudaraan berpotensi menyelamatkan nyawa kerana ia dapat mengekalkan oksigen dalam darah pada tahap yang betul sambil membuang sisa karbon dioksida. Walau bagaimanapun, alat bantuan pernafasan itu sendiri boleh menyebabkan radang dan tambahan komplikasi paru-paru. Jika alat bantuan pernafasan perlu digunakan dengan lebih agresif untuk mencapai tahap normal pengoksigenan dan penyingkiran karbon dioksida, ia berkemungkinan boleh merosakkan kawasan paru-paru yang normal seterusnya menjadikan keadaan pesakit menjadi lebih teruk. Pengudaraan dengan kedudukan muka ke bawah (meniarap) berbanding kedudukan muka ke atas (telentang) mungkin memperbaiki keberkesanan alat bantuan pernafasan, seterusnya, mengurangkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti dan memasukkan dalam ulasan ini ujian terkawal rawak yang melibatkan pesakit dewasa yang membandingkan pengudaraan mekanikal secara konvensional secara kedudukan meniarap dan telentang.

Keputusan utama

Laporan daripada sembilan ujian yang melibatkan 2165 peserta (10 penerbitan) menunjukkan bahawa pengudaraan dengan kedudukan meniarap tidak memberikan manfaat untuk semua peserta yang memerlukan bantuan pernafasan tetapi terdapat beberapa keadaan di mana ia mungkin boleh memperbaiki kelangsungan hidup. Satu kumpulan peserta yang mengalami kerosakan paru-paru yang paling teruk menunjukkan penurunan mortaliti sama seperti peserta yang menerima rawatan awal dan untuk tempoh yang lama. Komplikasi telah diterangkan. Komplikasi yang paling biasa adalah kudis kulit yang disebabkan oleh tekanan dan tiub trakea yang tersumbat atau terhalang. Tekanan darah rendah dan ritma degupan jantung yang tidak normal juga dilihat. Doktor perlu sedar tentang perkara ini dan mengambil tindakan pencegahan jika boleh. Penggunaan kedudukan meniarap untuk semua pesakit di unit rawatan rapi yang mempunyai tahap oksigen yang rendah adalah tidak diperlukan, tetapi untuk kumpulan pesakit tertentu, contohnya, mereka yang mempunyai tahap oksigen yang sangat rendah, mungkin mendapat manfaat daripada kedudukan meniarap. Ujian klinikal selanjutnya akan membantu dalam menjelaskan manfaat yang berpotensi dalam kalangan kumpulan pesakit tersebut tetapi, ujian selanjutnya mungkin tidak akan dijalankan memandangkan manfaat yang sangat besar telah dapat dilihat dalam kebanyakan kajian klinikal terbaru terutamanya dalam kalangan pesakit yang mempunyai kandungan oksigen yang sangat rendah. Dengan ketiadaan ujian-ujian baru, kaedah meta-analisis data pesakit boleh memudahkan penilaian lanjut.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi hasil utama ulasan sistematik ini adalah rendah kerana terdapat percanggahan yang serius dan potensi berat sebelah yang penting.

Bukti adalah terkini sehingga 31 Januari 2014. Kami telah membuat pencarian semula di CENTRAL, MEDLINE, EMBASE, CINAHL and LILACS pada Jun 2015. Lima kajian baru yang berkaitan telah diletakkan pada senarai "kajian yang menunggu klasifikasi" dan akan dimasukkan ke dalam hasil ulasan secara rasmi semasa ulasan dikemaskini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi muhammadzakihilmi@gmail.com

Tools
Information
Share/Save