Haemofiltrasi volum tinggi untuk sepsis

Latar belakang

Sepsis yang teruk dan shock sepsis adalah antara punca kematian yang paling lazim di dalam kalangan orang dewasa yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Sepsis sering berlaku selepas jangkitan, apabila badan bertindak balas dengan menghasilkan bahan kimia yang menyebabkan keradangan besar-besaran di seluruh badan. Keradangan ini boleh menyebabkan organ-organ seperti buah pinggang, jantung, peredaran darah atau paru-paru gagal. Kegagalan organ-organ tersebut, yang berpunca daripada keradangan, yang membawa kepada kadar kematian yang tinggi yang dikaitkan dengan sepsis.

Secara teorinya, sekiranya ia mungkin untuk meneutralkan atau mengeluarkan bahan kimia ini secara buatan daripada aliran darah, hasil rawatan pesakit (seperti kegagalan organ dan kematian) mungkin bertambah baik. Haemofiltrasi volum tinggi (HVHF) adalah satu kaedah yang boleh digunakan. Haemofiltrasi standard ialah rawatan yang telah digunakan di ICU untuk membuang toksin yang terkumpul apabila buah pinggang pesakit telah berhenti berfungsi. Rawatan ini melibatkan penyingkiran darah daripada pesakit melalui kateter besar (tiub berongga, fleksibel diletakkan ke dalam vena besar). Selepas darah dikeluarkan, ia disalurkan melalui penapis yang membuang toksin. Darah yang 'dibersihkan' kemudiannya dikembalikan kepada pesakit melalui kateter. HVHF, bentuk rawatan yang lebih intensif, bertujuan untuk mengeluarkan lebih banyak toksin (termasuk beberapa bahan kimia toksik yang dihasilkan semasa sepsis). Walau bagaimanapun, HVHF membawa potensi kelemahan. Teknik khusus ini memerlukan peralatan khusus dan latihan tambahan. Secara teorinya, ia boleh memberi kesan berbahaya pada tekanan darah pesakit atau boleh mengeluarkan bahan kimia yang bermanfaat (seperti antibiotik). Untuk ulasan ini, kami menilai sama ada haemofiltrasi volum tinggi meningkatkan hasil rawatan seperti risiko kematian dalam kalangan pesakit dengan sepsis yang teruk.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini adalah terkini sehingga Disember 2015. Kami memasukkan empat kajian yang melibatkan 205 peserta. Keempat-empat kajian menilai kesan HVHF berbanding dengan haemofiltrasi standard semasa dan menyertakan peserta dengan sepsis teruk atau shock septik yang telah dimasukkan ke ICU. Tiga daripada empat kajian adalah sangat kecil (kurang daripada 20 peserta yang mendaftar dalam setiap kajian). Masa maksimum peserta diberi rawatan susulan selepas dimasukkan dalam mana-mana kajian adalah 28 hari. Dua kajian menerima sokongan kewangan daripada syarikat farmaseutikal, dan satu kajian mendapat sokongan daripada organisasi penyelidikan kesihatan.

Hasil utama kajian

Data hasil adalah terhad - dua kajian melaporkan kadar kematian pada 28 hari dan satu melaporkan kadar kematian di hospital; dalam kajian keempat, jumlah kematian yang dinyatakan tidak sepadan dengan kadar kematian yang disebut. Satu kajian melaporkan tempoh tinggal di ICU, dan satu menyediakan data mengenai disfungsi organ. Penyiasat menggambarkan tiada komplikasi.

Tiada bukti jelas menunjukkan sebarang manfaat HVHF dalam pesakit kritikal dengan sepsis teruk atau shock septik.

Kualiti bukti

Bukti yang sedia ada adalah tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan rutin hemofiltrasi volum tinggi dalam pesakit dengan sepsis teruk atau shock septik. Kajian yang termasuk dalam ulasan ini melaporkan bilangan peserta yang agak kecil dan mengukur hasil yang berbeza; oleh itu, kami menilai kualiti bukti berkenaan dengan kesan HVHF sebagai rendah. Kajian yang lebih besar, yang dijalankan di banyak pusat, adalah diperlukan untuk penilaian penuh hasil yang berkaitan secara klinikal dan untuk penilaian kos berbanding faedah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information