Analog hormon pelepasan gonadotrofin untuk wanita yang mendapat kanser ovari yang sedang menjalani kemoterapi

Soalan ulasan
Ini adalah pengemaskinian pertama bagi satu ulasan yang diterbitkan dalam Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane (2011, Isu 11).
Kemoterapi telah menambah baik prognosis untuk orang yang mempunyai kanser dan beberapa keadaan bukan kanser, namun rawatan ini, boleh dikaitkan dengan kegagalan fungsi ovarium dalam kalangan wanita. Sejenis hormon yang dipanggil hormon pelepasan gonadotrofin (GnRH), kedua-dua agonis dan antagonis, boleh menjadikan ovari kurang sensitif terhadap kesan ubat kemoterapi. Kami telah menjalankan ulasan ini untuk menentukan sama ada analog-analog GnRH boleh mencegah kerosakan kepada ovari yang disebabkan oleh kemoterapi dikalangan wanita pra-menopaus yang menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser atau penyakit lain.

Ciri-ciri kajian
Kami telah mencari kesusasteraan perubatan sehingga November 2018 dan telah memilih percubaan-percubaan rawak terkawal (RCTs), di mana wanita telah dibahagikan secara rawak kepada dua (atau lebih) kumpulan, untuk menguji sama ada analog GnRH yang diberikan sebelum atau bersama kemoterapi boleh mencegah kerosakan ovari wanita yang disebabkan oleh kemoterapi. Kajian yang dimasukkan telah dibiayai oleh universiti, pusat penyelidikan, atau syarikat farmaseutikal. Walau bagaimanapun, percubaan-percubaan itu mempunyai kualiti metodologi yang rendah.

Keputusan-keputusan utama
Kami memasukkan 12 RCT yang melibatkan 1369 wanita yang menjalani kemoterapi. Kajian-kajian ini melibatkan wanita yang diberikan agonist GnRH bersama kemoterapi berbanding dengan kemoterapi sahaja (Kumpulan 1) atau wanita yang diberikan rawatan combinasi agonis-antagonis GnRH bersama kemoterapi berbanding dengan kemoterapi sahaja (Kumpulan 2).

Bagi Kumpulan 1, kami mendapati bahawa agonis GnRH mempunyai kesan perlindungan terhadap fungsi ovari, yang boleh mengurangkan kadar kegagalan ovari pramatang (bukti berkepastian sederhana) dan meningkatkan kadar ovulasi (bukti berkepastian rendah). Kejadian pemulihan atau pengekalan haid dalam tempoh susulan selama 12 bulan dalam kumpulan agonis GnRH adalah lebih tinggi daripada kumpulan kawalan, tetapi kami mendapati tidak ada perbezaan apabila wanita disusuli untuk lebih dari 12 bulan (bukti berkepastian rendah). Tidak ada perbezaan dalam kadar kehamilan di antara kumpulan (bukti berkepastian rendah); walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada wanita tersebut mencuba untuk hamil. Tidak ada perbezaan dalam kesan sampingan termasuk hangat kemerahan, kekeringan faraj, sakit kepala, dan kemurungan di antara kumpulan (bukti berkepastian sangat rendah hingga sederhana).

Satu RCT memberikan bukti yang terhad untuk Kumpulan 2 dan menunjukkan bahawa rawatan kombinasi agonis-antagonis GnRH tidak mempunyai kesan perlindungan terhadap ovari dari segi pemulihan atau pengekalan haid dan kadar kehamilan (bukti berkepastian sangat rendah).

Kesimpulan
Agonis GnRH nampaknya berkesan dalam melindungi ovari semasa kemoterapi, dari segi pemulihan atau pengekalan haid, kegagalan ovari pramatang dan ovulasi. Bukti untuk kadar kehamilan tidak mencukupi dan memerlukan siasatan lanjut. Bukti juga tidak mencukupi untuk menilai kesan rawatan kombinasi agonis-antagonis GnRH ke atas fungsi ovari dengan kemoterapi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan disunting oleh Chan Mei Wai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi sctan@ukm.edu.my

Tools
Information