Adakah perencat PARP memperbaik survival dalam kalangan wanita dengan kanser ovari dan apakah kesan sampingannya?

Mesej utama

Berbanding dengan ubat 'dummy' yang tidak aktif (plasebo), perencat PARP (poli (ADP-ribose) polymerase) (PARPi) yang diberi sebagai rawatan tablet harian selepas kemoterapi (rawatan penyelenggaraan):

- mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas jumlah masa seseorang dengan kanser ovari epitelium lanjutan (EOC) akan hidup secara keseluruhan (walaupun hasil ini mungkin berubah apabila lebih banyak data tersedia);

- mungkin melambatkan progressi penyakit dalam kalangan wanita dengan EOC yang baru didiagnosis;

- mungkin melambatkan progressi penyakit dalam kalangan wanita dengan EOC sensitif platinum berulang;

- mungkin menyebabkan peningkatan risiko kesan sampingan yang teruk.

Kami sangat tidak pasti sama ada kelewatan dalam progressi penyakit bermanfaat terhadap kualiti hidup, kerana data yang dilapor tidak konsisten, tetapi data terhad menunjukkan PARPi boleh memperbaik gejala dengan melambatkan progressi penyakit.

Apakah kanser ovari epitelium?

EOC adalah kanser yang timbul daripada lapisan (epitelium) ovari, tiub fallopian dan kaviti abdomen (peritoneum). Oleh kerana sel mempunyai akses segera kepada kaviti abdomen, EOC sering muncul di peringkat akhir. Rawatan awal adalah dengan gabungan pembedahan, sebaik-baiknya, untuk membuang semua penyakit yang boleh dilihat, dan kemoterapi. Penyakit akan berulang dalam kebanyakan orang dan rawatan lanjut diperlukan. Oleh itu, saintis mencari cara baru untuk menghentikan pertumbuhan sel kanser.

Apakah perencat PARP?

Keupayaan untuk membaiki DNA adalah penting untuk survival sel. Sel normal mempunyai lebih daripada satu laluan pembaikan DNA. Walau bagaimanapun, sel-sel kanser sering mengalami kecacatan dalam laluan pembaikan DNA. Gen BRCA terlibat dalam pembaikan DNA dan lazim rosak (bermutasi) dalam kalangan orang dengan EOC. Menyekat laluan pembaikan DNA lain dengan PARPi menghentikan sel kanser membaiki DNA, menyebabkan sel mati. Oleh itu, PARPi berbeza daripada kemoterapi konvensional, dan mungkin berfungsi lebih baik dalam sel bermutasi BRCA .

Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu sama ada rawatan PARPi, diberi sama ada dengan kemoterapi atau selepas itu sebagai rawatan penyelenggaraan:

- melambatkan kematian;

- melambatkan progressi penyakit;

- memperbaik kualiti hidup;

- ada sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana rawatan atau penjagaan yang diterima adalah secara rawak).dari 1990 hingga Okt 2020. Kami mencari kajian mengguna PARPi dalam kalanagn wanita dengan EOC yang baru didiagnosis dan mereka dengan kanser berulang, sama ada lebih daripada enam bulan selepas kemoterapi berasaskan platinum (relaps sensitif platinum) atau dalam tempoh enam bulan kemoterapi berasaskan platinum (relaps rsistan platinum). Kami mengumpul data, meringkaskan keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor, seperti sama ada wanita dan doktor mereka tahu rawatan yang diberi, bagaimana kajian-kajian dijalankan dan berapa ramai wanita yang disertakan dalam kajian-kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 15 kajian rawak perencat PARP (6109 peserta) (empat kajian termasuk 3070 wanita dengan EOC (rawatan utama) yang baru didiagnosis dan 11 kajian termasuk 3039 wanita dengan kanser berulang). Kami menemui 17 kajian yang sedang berlangsung.

Rawatan utama

PARPi, sebagai tambahan kepada kemoterapi, diberi semasa kemoterapi:

— memberi sedikit atau tiada perbezaan dalam berapa lama kanser ovari mengambil masa untuk kembali (progres/berulang);

— mungkin meningkat sedikit pengalaman kesan sampingan serius wanita semasa kemoterapi.

Walau bagaimanapun, meneruskan PARPi selepas kemoterapi, berbanding plasebo sebagai rawatan penyelenggaraan, selalunya selama beberapa bulan, mungkin melambatkan kanser berulang/progres.

Rawatan penyelenggaraan PARPi selepas kemoterapi:

— mungkin menunda kanser ovari berulang (tiada progressi penyakit pada 12 bulan: 55% dengan PARPi berbanding 24% untuk plasebo);

— mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam tempoh keseluruhan wanita hidup, walaupun lewat dalam kanser berulang, walaupun lebih banyak maklumat mungkin mengubah keputusan ini dari semasa ke semasa;

— mungkin meningkatkan risiko kesan sampingan yang teruk dengan PARPi, walaupun buktinya sangat tidak pasti.

Rawatan EOC berulang yang sensitif platinum

Berbanding rawatan kemoterapi konvensional, PARPi:

— mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan dari segi survival keseluruhan, kelewatan dalam progressi penyakit, kualiti hidup dan risiko kesan sampingan yang serius.

Kesemua kajian ini hanya melibatkan pesakit dengan mutasi BRCA , oleh itu adalah tidak jelas sama ada keputusan-keputusan ini akan serupa dalam kalangan pesakit bukan BRCA .

PARPi sebagai rawatan penyelenggaraan, selepas kemoterapi untuk kanser ovari sensitif platinum:

— mempunyai kesan yang besar pada kelewatan penyakit berulang (tiada progressi penyakit pada 12 bulan 37% dengan PARPi berbanding 5.5% dengan plasebo);

— ada sedikit atau tiada perbezaan dalam survival keseluruhan selepas rawatan;

— mungkin menyebabkan peningkatan besar risiko kesan sampingan yang teruk.

Rawatan EOC berulang resistan platinum

PARPi berbanding kemoterapi:

— kami sangat tidak pasti tentang hasil kerana kualiti bukti sangat rendah.

Apa yang mengehadkan keyakinan kami terhadap bukti?

Walaupun separuh daripada kajian-kajian adalah berisiko bias rendah, beberapa kajian mengguna kaedah memperkenalkan risiko bias dan sesetengah kajian adalah kecil. Pelaporan data kualiti hidup keseluruhan adalah lemah atau pelbagai kaedah diguna, mengehadkan keupayaan kami untuk menggabung data tentang hasil ini.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan Shing Cheng (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information