Adakah perencat reseptor faktor pertumbuhan epidermal (EGFR), sahaja atau bersama kemoterapi, memperbaiki hasil untuk wanita dengan kanser epitelial ovari (EOC)?

Apakah tujuan ulasan ini?
Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada ubat-ubatan yang merencat reseptor faktor pertumbuhan epidermal memperbaiki hasil untuk wanita dengan EOC dan untuk mengenal pasti bahaya rawatan ini. Kami berusaha mengumpul dan menganalisis keputusan semua hasil kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menemui tujuh kajian.

Apakah mesej utama ulasan ini?
Bukti yang terhad menunjukkan bahawa terdapat sedikit atau tiada manfaat daripada pengambilan agen anti-EGFR sama ada bersama kemoterapi ketika relaps, atau sebagai rawatan susulan selepas kemoterapi utama untuk EOC, dan beberapa kesan sampingan juga mungkin meningkat.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Lebih kurang suku daripada kanser ginekologi berasal dari ovari, namun ia adalah separuh daripada jumlah kematian yang berkaitan dengan kanser ginekologi. Insiden tahunan di seluruh dunia adalah sekitar 6.6 kes per 100,000 wanita, dengan kadar kematian tahunan adalah empat kematian per 100,000 wanita, kerana tiga per empat daripada kes ini didiagnosis pada tahap lanjut. Rawatan biasanya terdiri daripada gabungan pembedahan untuk membuang sebanyak mungkin kanser yang dapat dilihat (pembedahan pengecilan) dan kemoterapi berasaskan platinum. Sebilangan besar kes EOC (70% hingga 80%) bertindak balas terhadap kemoterapi. Malangnya, kebanyakan wanita dengan penyakit peringkat lanjut mengalami relaps dan akhirnya meninggal dunia disebabkan kerintangan terhadap kemoterapi.

EGFR terlibat dalam mengawal pertumbuhan sel. Aktiviti EGFR yang tinggi dikaitkan dengan perkembangan EOC dan hasil yang buruk. Menghalang aktiviti EGFR merupakan sasaran yang menarik bagi agen terapi yang baru. Agen anti-EGFR telah dihasilkan dan diuji dalam gabungan dengan kemoterapi atau sebagai rawatan susulan selepas kemoterapi.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ulasan ini menemui bukti daripada tujuh kajian mengenai kesan antibodi anti-EGFR atau perencat tyrosine kinase EGFR (TKI) (erlotinib dan vandetanib) dalam wanita yang dirawat untuk EOC. Ini diberikan sama ada sebagai rawatan susulan, setelah selesai kemoterapi utama, atau untuk EOC yang tumbuh setelah rawatan awal (penyakit berulang atau refraktori).

Kami menemui bukti berkepastian rendah untuk mencadangkan selepas kemoterapi utama, rawatan susulan dengan erlotinib mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam jangka hayat keseluruhan, dan bukti berkepastian sangat rendah menunjukkan rawatan ini menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup bebas penularan (tempoh sebelum kanser mula tumbuh semula). Rawatan mungkin mengurangkan kualiti hidup berbanding tanpa rawatan (pemerhatian), tetapi data yang ada amat minimum, dan kami mempunyai kepastian yang sangat rendah mengenai penemuan ini. Data berkaitan kesan buruk tidak tersedia untuk dimasukkan dalam analisis meta.

Kami menemui bukti berkepastian rendah untuk mencadangkan rawatan dengan vandetanib bagi wanita yang mengalami relaps EOC mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam keseluruhan kelangsungan hidup, dan bukti berkepastian sangat rendah menunjukkan ia menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup bebas penularan. Rawatan vandetanib berkemungkinan besar meningkatkan risiko ruam teruk, tetapi data mengenai kesan sampingan yang lain adalah berkepastian sangat rendah disebabkan bilangan yang kecil dan selang keyakinan yang sangat luas.

Kami menemui bukti berkepastian sederhana untuk menunjukkan bahawa rawatan dengan antibodi anti-EGFR mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam keseluruhan kelangsungan hidup, dan bukti berkepastian rendah menunjukkan ia menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelangsungan hidup bebas penularan bagi penyakit yang relaps. Rawatan dengan antibodi anti-EGFR pertuzumab mungkin meningkatkan risiko cirit-birit (berkepastian rendah), tetapi bukti tuntuk kesan sampingan yang lain adalah berkepastian sangat rendah disebabkan sedikit kejadian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Salizawati.Muhamad Salhimi. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information