Dekongestan, antihistamin dan pengairan hidung untuk sinusitis akut dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk menentukan sama ada terdapat bukti dalam kesusasteraan perubatan yang menyokong atau menentang penggunaan ubat dekongestan, antihistamin dan pengairan hidung untuk sinusitis akut dalam kalangan kanak-kanak.

Latar belakang

Kanak-kanak mengalami purata enam hingga lapan selesema per tahun. Daripada setiap 10 kanak-kanak dengan selesama, seorang akan mendapat sinusitis. Sinusitis terjadi apabila sinus yang tidak dialirkan dengan betul semasa selesema, menjadi jangkitan sekunder dengan bakteria. Kanak-kanak dengan sinusitis kerap mengalami simptom selesema yang lebih teruk atau berterusan. Untuk melegakan simptom sinusitis, ibu bapa dan doktor kerap menggunakan dekongestan, antihistamin dan pengairan hidung. Rawatan tersebut tersedia tanpa memerlukan preskripsi dan digunakan secara meluas.

Kajian terdahulu menunjukkan penggunaan antihistamin dan dekongestan dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan yang signifikan.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2014.

Ciri-ciri kajian

Selepas ulasan literatur komprehensif, kami gagal untuk mengenal pasti sebarang kajian yang menilai keberkesanan intervensi-intervensi tersebut (berbanding tiada rawatan atau plasebo) dalam kalangan kanak-kanak dengan diagnosis klinikal sinusitis akut.

Sumber pembiayaan kajian

Tidak berkaitan.

Keputusan utama

Tiada data sedia ada untuk menentukan sama ada antihistamin atau dekongestan patut digunakan dalam kanak-kanak dengan sinusitis akut.

Penggunaan statistik

Tidak berkaitan.

Kualiti bukti

Tidak berkaitan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save