Suplemen asid lemak politaktepu rantai panjang untuk ibu-ibu yang menyusu

Latar belakang

Asid lemak politaktepu rantai panjang (LCPUFA) banyak terdapat di dalam otak dan penting untuk pertumbuhan dan kematangan otak dan retina mata bayi. Asid lemak jenis ini termasuklah asid docosahexaenoic (DHA), ia dikatakan sangat mustahak kerana tubuh badan manusia tidak dapat menghasilkannya dengan berkesan. Ini bermaksud bayi yang menyusu memperoleh asid lemak daripada pemakanan ibu, terutamanya daripada minyak ikan dan ikan laut. Kami mengulas bukti tentang kesan suplementasi LCPUFA kepada ibu-ibu menyusu ke atas pembesaran dan perkembangan otak anak-anak mereka.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui lapan kajian kawal rawak. Sejumlah 1567 wanita dari negara berpendapatan tinggi disertakan ke dalam kajian-kajian ini. Kualiti bukti didapati sederhana dan rendah.

Hasil utama

Ulasan kajian-kajian ini menunjukkan yang menambahkan diet ibu dengan LCPUFA sewaktu mengandung dan empat bulan pertama selepas bersalin tidak meningkatkan tumbesaran atau perkembangan otak kanak-kanak dari segi keupayaan menyelesaikan masalah atau kecerdasan otak, perkembangan psikomotor, motor atau bahasa. Bagi tahap perhatian kanak-kanak yang berumur lima tahun, bukti lemah dijumpai (satu kajian) yang menyokong suplementasi itu. Umur kanak-kanak pada penilaian perkembangan otak yang terakhir ialah pada usia tujuh tahun. Ketajaman penglihatan kanak-kanak tidak berbeza pada umur lima tahun berbanding kanak-kanak daripada kumpulan kawalan di mana ibu-ibu menerima suplemen soya atau minyak jagung.

Kesimpulan

Pada masa ini, tidak terdapat bukti muktamad bagi menyokong atau menghalang amalan memberikan suplementasi LCPUFA kepada ibu menyusu bagi meningkatkan perkembangan otak.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Pelajar Pascasiswazah, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information