Apakah bahan-bahan terbaik untuk digunakan bagi dawai arkus permulaan untuk pendakap gigi tetap?

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami ingin mengetahui jenis dawai arkus bagi kegunaan pakar ortodontik apabila meletakkan pendakap bagi mengatur gigi. Ulasan kami menilai sama ada pelbagai jenis dawai arkus permulaan menghasilkan perbezaan penting, seperti kecepatan mengatur gigi, mengurangkan sakit atau mengurangkan kesan sampingan, seperti pemendekan akar gigi semasa rawatan dengan pendakap?

Latar belakang

Rawatan ortodontik dibuat dengan meluas di serata dunia untuk membetulkan kesesakan gigi, gigi terputar, gigi tertanam atau terkeluar ke hadapan. Rawatan ini biasanya diberi semasa remaja atau dewasa. Aplians ortodontik tetap (pendakap) terdiri dari braket yang dilekatkan kepada gigi dan disambung dengan dawai arkus yang memberi tekanan kepada gigi. Dawai arkus permulaan (awal) yang dipasang pada permulaan rawatan adalah untuk membetulkan kesesakan gigi dan gigi terputar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan pelbagai bahan baharu (pelbagai campuran (aloi) nikel dan titanium (NiTi)) telah dibangunkan dan menunjukkan berbagai sifat di makmal dan para pengilang mendakwa bahan-bahan ini menawarkan manfaat untuk penyusunan gigi. Ini adalah kemas kini ulasan bertajuk Dawai arkus permulaan bagi menjajarkan gigi tidak teratur dengan pendakap tetap ortodontik, yang julung kali diterbitkan pada 2010.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian pada 5 Oktober 2017. Kami berminat dalam ‘kajian rawak terkawal' (RCTs), yang mana peserta dipilih secara rawak untuk intervensi yang dibandingkan. Kami mendapati 12 RCTs dengan 799 peserta, kesemuanya telah dipasang pendakap penuh rahang atas atau bawah atau kedua-duanya. Kajian-kajian tersebut menilai pelbagai dawai arkus permulaan, namun semua kajian tidak dijalankan dengan sempurna dan hasil kajian berkemungkinan bias. Kajian-kajian berbeza dalam beberapa aspek rawatan ortodontik, membanding pelbagai jenis dawai arkus permulaan dan melapor pelbagai hasil pada masa yang berlainan. Tiada kajian yang melaporkan potensi manfaat (penyusunan) dan mudarat (sakit atau kesan sampingan seperti resorpsi akar)

Keputusan utama

Kami mendapati bukti berkualiti sederhana bahawa nikel-titanium (NiTi) ‘superelastic’ sepaksi boleh menghasilkan lebih banyak pergerakan gigi lebih dalam tempoh 12 minggu berbanding NiTi ‘superelastic’ satu lembar. Kami mendapati bukti berkualiti sederhana bahawa tiada perbezaan dalam kesakitan pada hari 1 di antara keluli nirkarat multi-lembar berbanding dawai arkus superelastic NiTi. Tiada cukup bukti daripada kajian-kajian yang disertakan untuk mengetahui jika dawai arkus tertentu lebih baik atau lebih buruk daripada yang lain, atau jika ia berfungsi sama baik, dalam kelajuan mengatur, sakit atau pemendekan gigi dalam kalangan orang-orang yang menjalani rawatan ortodontik.

Kualiti bukti

Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa NiTi superelastic sepaksi boleh menghasilkan pergerakan gigi lebih besar daripada NiTi superelastic satu lembar dan bahawa tiada perbezaan nyata dalam kesakitan sama ada dawai arkus dibuat dengan keluli nirkarat multi lembar atau NiTi superelastic. Kualiti bukti adalah rendah untuk semua perbandingan dan hasil rawatan. Secara keseluruhan, bukti tentang dawai arkus permulaan dalam rawatan ortodontik adalah sangat terhad, dengan perbandingan yang sering dinilai oleh satu kajian kecil dengan masalah dalam reka bentuk kajian. Dapatan kajian adalah tidak jitu dan tidak boleh dipercayai oleh itu lebih banyak penyelidikan diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my.