Momordica charantia bagi diabetes mellitus (penyakit kencing manis jenis kedua)

Mormordica charantia (Malaysia: peria katak atau tembikai pahit) adalah tumbuhan saka yang memanjat dengan ciri-ciri buah atau timun yang memanjang serta menggerutu dan berasal dari kawasan tropika. Walaupun Mormordica charantia biasa digunakan didalam amalan perubatan tradisional, berserta dengan penyelidikan yang mencadangkan faedahnya bagi pesakit diabetes melitus (penyakit kencing manis) jenis kedua, bukti yang sedia ada tidak menjamin penggunaan tumbuhan ini sebagai rawatan penyakit tersebut. Kajian menyeluruh ke atas penyelidikan klinikal ini mendapati hanya empat kajian sahaja, yang secara keseluruhan mempunyai kualiti yang rendah. Tiga kajian klinikal menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan diantara Momordica charantia dan placebo atau ubat antidiabetik (glibenclamide dan metformin) bagi mengurangkan gula dalam darah. Tempoh rawatan adalah di antara empat minggu hingga tiga bulan, dengan jumlah seramai 479 pesakit kencing manis jenis kedua mengambil bahagian. Tiada penyelidikan klinikal yang mengkaji kematian atas mana-mana sebab, morbiditi, kualiti hidup berkaitan kesihatan atau kos. Kesan-kesan sampingan kebanyakannya adalah sederhana, termasuk cirit-birit dan sakit perut. Walau bagaimanapun, laporan mengenai kesan sampingan adalah tidak lengkap bagi kajian-kajian yang terlibat. Terdapat berbagai variasi penyediaan Momordica charantia, dan berbagai variasi dalam penggunaannya sebagai sayuran. Kajian lanjut diperlukan untuk menilai kualiti berbagai penyediaan Momordica charantia disamping menilai dengan lebih lanjut lagi penggunaannya sebagai diet pesakit kencing manis.

Kesimpulan penulis: 

Tiada bukti yang mencukupi mengenai kesan Momordica charantia ke atas penyakit kencing manis (Diabetes mellitus) jenis kedua. Oleh itu, penyelidikan yang lebih lanjut adalah diperlukan bagi menangani isu-isu penyeragaman dan kawalan kualiti bahan. Bagi terapi nutrisi perubatan, ujian pemerhatian yang lebih lanjut bagi menilai kesan Momordica charantia adalah diperlukan sebelum kajian klinikal yang dikawal secara rawak boleh dijadikan landasan bagi cadangan-cadangan untuk amalan klinikal.

Baca abstrak penuh ...
Latar belakang: 

Mormordica charantia (Malaysia: peria katak) bukan sahaja merupakan sayur yang berkhasiat tetapi ianya juga digunakan didalam amalan perubatan tradisional untuk merawat penyakit kencing manis jenis kedua. Kajian-kajian eksperimental ke atas haiwan dan manusia mencadangkan bahawa sayur ini mungkin mempunyai peranan untuk mengawal kadar kandungan gula didalam darah,

Objektif: 

Untuk menilai kesan Momodica charantia ke atas penyakit kencing manis jenis kedua,

Strategi pencarian: 

Pencarian meliputi beberapa pangkalan data, antaranya Cochrane Library (Issue 1, 2012), Â nbsp  MEDLINE, EMBASE, CINAHL, SIGLE dan LILACS (Kesemuanya sehingga Februari 2012), digabungkan bersama pencarian manual. Tiada sekatan bahasa digunakan.

Kriteria pemilihan: 

Kami memasukkan kajian klinikal yang dikawal secara rawak (randomized-controlled trials) yang membandingkan Momordica charantia dengan plasebo atau intervensi kawalan, dengan atau tanpa intervensi farmakologikal atau bukan-farmakologikal.

Pengumpulan data dan analisis: 

Dua orang penulis mengeluarkan data secara berasingan. Risiko berat sebelah dalam kesemua kajian kilnikal telah dinilai dengan menggunakan parameter perawakan,penyembunyian pembahagian, pengaburan, kesempurnaan data hasil, laporan selektif dan lain-lain sumber potensi berat sebelah. Kajian meta analisis tidak dijalankan berdasarkan kualiti data dan kepelbagaian penyediaan Momordica charantia yang digunakan didalam intervensi (tiada bahan penyediaan yang diuji dua kali).

Keputusan utama: 

Empat kajian klinikal yang dikawal secara rawak dengan tempoh sehingga tiga bulan dengan mengkaji 479 peserta telah memenuhi kriteria kemasukan. Risiko berat sebelah bagi kajian-kajian klinikal ini (hanya dua kajian yang dterbitkan merupakan penerbitan yang disemak secara peer-reviewed) secara amnya adalah tinggi. Dua kajian klinikal yang dikawal secara rawak membandingkan bahan yang disediakan dari berbagai bahagian Momordica charantia dengan plasebo bagi mengawal kandungan gula dalam darah pesakit kencing manis jenis kedua. Tiada perbezaan yang signifikan secara statistik diantara kawalan gula dalam darah oleh persediaan Momordica charantia berbanding dengan plasebo Apabila Monordica charantia dibandingkan dengan metformin atau glibenclamide, tiada perubahan yang signifikan ke atas parameter-parameter yang menunjukkan kawalan gula dalam darah. Tiada kesan sampingan yang serius dilaporkan oleh mana-mana kajian klinikal. Tiada penyelidikan klinikal yang mengkaji kematian atas mana-mana sebab, morbiditi, kualiti hidup berkaitan kesihatan atau kos.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh: Ami Fazlin Syed Mohamed. Untuk pertanyaan tentang terjemahan ini, sila hubungi ami@imr.gov.my

Tools
Information
Share/Save