Adakah intervensi sokongan, pendidikan dan tingkah laku meningkatkan penggunaan tekanan saluran udara positif berterusan pada orang dewasa dengan apnea tidur yang obstruktif?

Apakah apnea tidur obstruktif (OSA) dan tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP)?

Apnea tidur obstruktif (OSA) adalah keadaan yang menyebabkan pernafasan terganggu semasa tidur. Orang dengan OSA menghabiskan lebih banyak masa dalam tidur ringan dan kurang masa dalam tidur nyenyak dan akibatnya mengalami rasa mengantuk pada waktu siang, yang mungkin mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

Tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP) adalah rawatan yang memberikan udara bertekanan untuk memastikan saluran udara terbuka. Rawatan CPAP menggunakan mesin yang mengandungi tiga bahagian utama: alat yang sesuai digunakan dengan hidung dan mulut, tiub yang menghubungkan topeng ke motor peranti; dan motor yang menghembus udara ke dalam tiub.

Soalan ulasan

Kita sudah tahu bahawa CPAP merawat OSA secara berkesan pada kebanyakan orang dengan memperbaiki gejala yang timbul akibat OSA. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang tidak menggunakan mesin CPAP mereka seperti yang disyorkan. Kami ingin melihat intervensi yang dirancang untuk mendidik dan memotivasi orang dengan OSA untuk menggunakan mesin CPAP mereka lebih kerap.

Ciri-ciri kajian

Kami melihat bukti dari kajian rawak, kumpulan selari, terkawal. Setelah pencarian literatur yang komprehensif dan penilaian percubaan, kami memasukkan 41 kajian (jumlah peserta = 9005). Sebilangan besar orang mengalami rasa mengantuk pada waktu siang dan mengalami OSA yang baru didiagnosis. Tempoh kajian yang disertakan adalah di antara 28 hari hingga dua tahun.

Keputusan

Kami mengelompokkan percubaan ke dalam ujian yang memberi a) pendidikan, b) intervensi sokongan, c) intervensi tingkah laku, dan d) intervensi campuran (menggunakan semua teknik).

Kami mendapati bahawa semua jenis intervensi meningkatkan penggunaan CPAP dengan tahap kepastian yang berbeza-beza. Terapi tingkah laku meningkatkan penggunaan mesin sebanyak 79 minit per malam, dan intervensi sokongan berterusan mungkin meningkatkan penggunaan mesin sekitar 42 minit setiap malam. Intervensi pendidikan dan campuran berpotensi meningkatkan penggunaan mesin, namun kepastian bukti ini sangat rendah.

Kami juga ingin melihat hasil lain seperti mengantuk pada waktu siang menggunakan Epworth Sleepiness Scale (ESS), kualiti hidup, kemurungan, dan indeks apnea hypopnoea (pengukuran jeda dalam pernafasan dan pernafasan lambat atau cetek). Tidak semua kajian termasuk secara konsisten mengkaji hasil-hasil lain ini, namun intervensi tingkah laku dapat mengurangkan rasa mengantuk pada waktu siang.

Kajian umumnya merngambil orang yang baru menggunakan CPAP.

Kualiti bukti

Kualiti bukti peningkatan kepatuhan CPAP sangat berbeza di antara jenis kajian yang berlainan. Kami yakin bahawa intervensi tingkah laku meningkatkan kepatuhan selama sekitar 70 minit setiap malam. Kualiti bukti untuk intervensi pendidikan, sokongan, dan campuran tidak begitu kuat. Kualiti bukti untuk gejala yang berkaitan dengan OSA termasuk mengantuk pada waktu siang, kualiti hidup, kegelisahan atau kemurungan dipengaruhi oleh jumah kajian yang rendah yang mengukur hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save