Rawatan psikologi untuk individu dengan kecelaruan personaliti antisosial

Latar belakang

Individu dengan kecelaruan personaliti antisosial (AsPD) boleh berkelakuan dengan cara yang membahayakan diri mereka atau orang lain dan perbuatan ini melanggar undang-undang. Mereka boleh menjadi tidak jujur dan bertindak agresif tanpa berfikir terlebih dahulu. Ramai diantara mereka terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Jenis rawatan psikologi tertentu seperti terapi percakapan atau terapi cara berfikir dapat membantu mereka yang menghidap AsPD. Rawatan tersebut bertujuan untuk cuba mengubah tingkah laku seseorang, mengubah cara pemikiran mereka, atau untuk membantu seseorang itu menguruskan perasaan marah, mencederakan diri sendiri, penyalahgunaan dadah dan alkohol atau tingkah laku negatif.

Ulasan ini adalah kemas kini ulasan yang diterbitkan pada 2010.

Soalan ulasan

Apakah kesan terapi percakapan atau terapi cara berfikir untuk orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) dengan AsPD, berbanding rawatan seperti biasa (TAU), dimasukkan dalam senarai menunggu atau tiada sebarang rawatan?

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian-kajian yang berkaitan sehingga 5 September 2019. Kami menemui 19 kajian yang relevan untuk 18 jenis intervensi psikologi yang berbeza. Data dilaporkan untuk 10 kajian yang melibatkan 605 orang dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas) dengan diagnosis AsPD, yang tinggal di dalam komuniti, hospital atau penjara. Lapan intervensi melaporkan hasil utama tinjauan iaitu (keagresifan, sabitan semula, fungsi umum/sosial dan kejadian buruk), tetapi hanya sedikit yang mempunyai data peserta dengan AsPD. Kajian membandingkan intervensi psikologi terhadap TAU, yang kadang-kadang disebut sebagai 'pemantauan standard' (SM).

Sebilangan besar kajian dilakukan di UK atau Amerika Utara dan dibiayai oleh geran dari majlis penyelidikan utama. Kajian merangkumi lebih ramai peserta lelaki (75%) daripada wanita (25%),dengan usia purata 35.5 tahun. Tempoh kajian adalah antara 4 hingga 156 minggu. Sebilangan besar kajian (10 dari 19) menggunakan kaedah yang lemah, yang membuatkan kami tidak dapat memastikan penemuan mereka dan kerana itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang kukuh.

Hasil utama

Di bawah ini, kami melaporkan penemuan untuk setiap perbandingan, di mana terdapat data untuk hasil utama.

Terapi tingkah laku kognitif (CBT) + TAU berbanding TAU. Tiada perbezaan antara CBT + TAU dan TAU untuk keagresifan fizikal atau fungsi sosial tetapi buktinya tidak dapat dipastikan.

Kaunseling gaya hidup impulsif (ILC) + TAU berbanding TAU. Tiada perbezaan antara ILC + TAU dan TAU untuk keagresifan atau kejadian buruk seperti kematian atau dipenjarakan tetapi buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Pengurusan luar jangka (CM) + SM berbanding SM. CM + SM, berbanding SM, mungkin dapat meningkatkan fungsi sosial.

Program 'Memandu semasa mabuk' (DWI) + penahanan berbanding penahanan. Tidak ada perbezaan antara DWI + penahanan dan penahanan pada kadar sabitan semula (penahanan semula) tetapi buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Terapi skema (ST) berbanding TAU. Buktinya sangat tidak dapat dipastikan mengenai kesan ST berbanding dengan TAU ke atas sabitan semula. Terdapat beberapa bukti bahawa dibandingkan dengan TAU, ST dapat meningkatkan satu aspek fungsi sosial: masa yang dibenarkan untuk keluar dengan kebenaran tanpa pengiring bagi mereka yang berada di hospital. Tiada perbezaan antara ST dan TAU untuk keseluruhan kejadian buruk yang diklasifikasikan secara global sebagai hasil negatif tetapi buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Terapi penyelesaian masalah sosial (SPS) + pendidikan psikologi (PE) berbanding TAU. Tiada perbezaan antara SPS + PE dan TAU untuk tahap fungsi sosial peserta tetapi buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Terapi tingkah laku dialektik (DBT) berbanding TAU. Terdapat cadangan bahawa, berbanding dengan TAU, DBT mungkin mengurangkan jumlah hari mencederakan diri tetapi buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Pengurusan risiko psikososial (program 'Resettle' PSRM) berbanding TAU. Tidak ada perbezaan antara PSRM dan TAU untuk jumlah kesalahan yang dilaporkan dalam tempoh satu tahun setelah dibebaskan dari penjara, atau untuk risiko kematian semasa kajian, walaupun buktinya sangat tidak dapat dipastikan.

Kesimpulan

Ulasan menunjukkan bahawa tidak cukup bukti yang berkualiti bagi mengesyorkan atau menolak sebarang rawatan psikologi bagi individu yang didiagnosis sebagai AsPD.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nadia Nur Ayunni Amir Hamzah. Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information